Jurujual rompak kedai serbaneka dijel tiga tahun, satu sebatan

Seorang jurujual dipenjara tiga tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana merompak seorang juruwang kedai serbaneka warga Bangladesh menggunakan pisau, Julai lepas.- Gambar hiasan
Seorang jurujual dipenjara tiga tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana merompak seorang juruwang kedai serbaneka warga Bangladesh menggunakan pisau, Julai lepas.- Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang jurujual dipenjara tiga tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana merompak seorang juruwang kedai serbaneka warga Bangladesh menggunakan pisau, Julai lepas.

Hakim Mahyon Talib menjatuhkan hukuman itu ke atas S Thiban Nair, 24, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan dan memerintahkan hukuman itu bermula dari tarikh tangkap pada 26 Ogos lepas.

Mahyon turut menasihati tertuduh supaya tidak terlibat dengan kesalahan jenayah lagi.

Lelaki itu didakwa melakukan rompakan ke atas Limon Shake dengan merampas wang tunai RM350 serta mengacukan sebilah pisau di MyNews, Tengkat Tong Shin, Bukit Bintang, di sini pada jam 10.07 malam, 16 Julai 2020 mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun, dan juga dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Thiban yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia menanggung seorang ibu dan mempunyai seorang adik orang kurang upaya (OKU), namun Timbalan Pendakwa Raya, Nurliyana Mohd Jafri memohon hukuman penjara dengan alasan kejadian itu telah mendatangkan trauma kepada mangsa.

“Berdasarkan rekod lampau tertuduh juga sebelum ini sudah tiga kali dimasukkan ke penjara, ini menunjukkan tertuduh tidak ada rasa insaf dan ingin berubah atas jenayah yang dilakukan,” katanya.

Difahamkan, tertuduh melakukan rompakan itu kerana memerlukan wang untuk diberikan kepada teman wanitanya.- Bernama

Artikel Berkaitan: