X

Kindly register in order to view this article
!

Ekonomi Malaysia tunjuk tanda pulih

Mohd Uzir Mahidin
A
A

SHAH ALAM - Prestasi ekonomi Malaysia dilaporkan menunjukkan tanda pemulihan susulan kegiatan aktiviti ekonomi negara yang kembali aktif dan terbukti melalui petunjuk makro ekonomi pada Julai lalu.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, senario itu dilihat dengan peningkatan jumlah tenaga kerja iaitu seramai 15.82 juta orang pada Julai lalu daripada 15.76 juta orang pada bulan sebelumnya.

Beliau berkata, kadar pengangguran turut turun kepada 4.7 peratus berbanding 4.8 peratus pada bulan sebelumnya.

Menurutnya, nilai jualan bagi sektor pembuatan meningkat kepada RM119.3 bilion pada Julai lalu iaitu meningkat 2.1 peratus bagi bulan ke bulan.

"Perdagangan borong dan runcit juga menunjukkan pemulihan pada bulan Julai dengan menjana nilai jualan pada RM108.7 bilion pada pertumbuhan 5.6 peratus berbanding bulan sebelumnya.

"Pertumbuhan jualan yang lebih baik bagi subsektor itu, disumbangkan oleh jualan kenderaan bermotor berikutan strategi yang efektif daripada kerajaan ke atas pelepasan cukai sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Mohd Uzir berkata, perdagangan barangan Malaysia bagi Julai tahun ini mencatat peningkatan sebanyak RM159.9 bilion berbanding RM144.7 bilion daripada bulan sebelumnya, di mana eksport meningkat sebanyak 11.7 peratus sementara import meningkat 8.7 peratus.

"Dari tahun ke tahun, eksport meningkat sebanyak 3.1 peratus, sementara import terus menyusut pada Julai lalu.

"Pada bulan Ogos, eksport dan import mencatatkan penyusutan, namun imbangan perdagangan kekal merekodkan lebihan dagangan," katanya.

Tambahnya, peranan sektor pelancongan dalam ekonomi sangat penting memandangkan aktiviti berkaitan dengan pelancongan meliputi 23.6 peratus pekerjaan serta menyumbang 15.9 peratus atau RM240.2 bilion kepada ekonomi Malaysia pada tahun 2019.

Katanya, kerajaan juga mengumumkan inisiatif pelancongan bagi meningkatkan aktiviti promosi yang menarik oleh agensi pelancongan dan industri hotel serta penginapan, di mana ia akan menyokong serta menghidupkan semula aktiviti pelancongan domestik bagi tahun 2020.

"Secara keseluruhan, prestasi makroekonomi pada Julai telah memberikan petunjuk awal bagi suku ketiga 2020.

"Prestasi suku ketiga dijangka akan lebih baik berbanding suku kedua, memandangkan pakej rangsangan ekonomi yang berterusan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi keseluruhannya. Ini sejajar dengan Indeks Pelopor yang menunjukkan pemulihan ekonomi dalam waktu terdekat serta prospek ekonomi yang lebih cerah menjelang 2021," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Prestasi ekonomi kian pulih, penguncupan KDNK mengecil


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!