X

Kindly register in order to view this article
!

Seludup 21 lembu guna perahu

Sebanyak 21 ekor lembu baka Kedah-Kelantan bernilai RM126,000 yang cuba diseludup ke negara ini menerusi pangkalan haram Tualang di Simpangan, Tumpat berjaya dipatahkan PGA Batalion 7 Kuantan semalam.
A
A

TUMPAT - Sebanyak 21 ekor lembu baka Kedah-Kelantan bernilai RM126,000 yang cuba diseludup ke negara ini menerusi pangkalan haram Tualang di Simpangan di sini berjaya dipatahkan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan pagi semalam.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7 Kuantan, Superintendan Azhari Nusi berkata, rampasan pada jam 7 pagi itu hasil maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan yang telah diterimanya.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota PGA Batalion 7 Kuantan telah membuat pemerhatian di dalam semak berhampiran dengan tebing sungai di pangkalan haram Tualang.

"Semasa intipan, anggota PGA Batalion 7 Kuantan ternampak sekumpulan lelaki sedang menarik beberapa ekor lembu menyeberangi sungai Golok dengan menggunakan perahu dari Thailand ke tebing berhampiran pangkalan haram Tualang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, sejurus melihat pergerakan itu, anggota PGA Batalion 7 telah bertindak menjejaki pergerakan lembu-lembu tersebut.

Katanya, semasa mengekori pergerakan lembu-lembu itu, kumpulan penyeludup tersebut bertindak melarikan diri ke dalam semak sebaik sahaja menyedari kegiatan mereka diketahui oleh anggota PGA.

"Pemeriksaan di sekitar kawasan tersebut telah menemui 21 ekor lembu yang disyaki telah diseludup masuk dari negara Thailand," katanya.

Azhari berkata, siasatan awal mendapati lembu-lembu tersebut diseludup dari negara Thailand ke Malaysia untuk pasaran di sekitar negeri Kelantan.

Kes disiasat bawah Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!