Wanita kembali bekerja tak kena cukai setahun?

M. Kula Segaran. - Foto Bernama
M. Kula Segaran. - Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Kerajaan akan memberi pengecualian cukai pendapatan individu sehingga 12 bulan kepada wanita yang kembali bekerja mulai tahun hadapan, kata Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran.

Katanya inisiatif itu bagi menggalakkan golongan wanita kembali bekerja dan program pengecualian itu akan dipantau dan diuruskan oleh Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp).

"Jadi, jika anda mengenali seorang wanita, sama ada rakan atau isteri anda yang berfikir untuk kembali bekerja, beritahu mereka bahawa jangan tunggu lagi. Kami mahu wanita di negara ini untuk kembali bekerja, kerana negara memerlukan mereka.

Wanita merangkumi separuh dari penduduk Malaysia dan hampir separuh daripada tenaga kerja negara dan jika lebih ramai wanita menyertai tenaga kerja, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berpotensi meningkat antara RM6 bilion hingga RM9 bilion,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Tahunan Life at Work 2018 anjuran TalentCorp di sini, hari ini.

Beliau berkata kerajaan komited untuk melaksanakan amalan keseimbangan kerja dan kehidupan di seluruh negara dengan kerjasama erat kementeriannya, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta TalentCorp.

Sementara itu, anugerah Life at Work merupakan inisiatif tahunan TalentCorp yang dianjurkan sejak 2013, bermatlamat mengetengahkan amalan keseimbangan kerja dan kehidupan sebagai strategi masa depan pekerjaan selari dengan pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Sejumlah 86 syarikat telah mengemukakan penyertaan kali ini, berbanding 33 penyertaan sahaja pada tahun lepas.

Tahun ini, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja muncul sebagai pemenang utama anugerah apabila menggondol tiga anugerah iaitu bagi kategori organisasi sektor awam terbaik, juara ketua pegawai eksekutif bagi organisasi sektor awam (Tunku Alizakri Alias) dan amalan kerja cemerlang (tempat kerja terbaik).

Shell Malaysia pula dinobatkan organisasi antarabangsa terbaik manakala Hong Leong Bank Berhad merangkul anugerah organisasi baharu terbaik.
Artikel Berkaitan: