Buat janji temu tapi tak datang

Pemilik akaun MyPuspakom dikesan membuat 100 hingga 500 tempahan temu janji dalam talian dalam sebulan namun tidak hadir menjalankan pemeriksaan kenderaan pada waktu ditetapkan.
Pemilik akaun MyPuspakom dikesan membuat 100 hingga 500 tempahan temu janji dalam talian dalam sebulan namun tidak hadir menjalankan pemeriksaan kenderaan pada waktu ditetapkan.
A
A
A

SHAH ALAM - Puspakom Sdn Bhd (Puspakom) mengetatkan polisi pemulangan bayaran balik temu janji dalam talian bagi mengatasi isu tempahan palsu dan berlebihan.

Menurut Puspakom dalam satu kenyataan semalam, polisi baharu itu dibuat kerana siasatan mendapati majoriti permohonan pemulangan bayaran balik adalah daripada pemilik akaun yang membuat temu janji palsu atau membuat temu janji dengan banyak pada satu-satu masa dan seterusnya membuat pembatalan pada temu janji tersebut.

"Hasil siasatan kami menunjukkan ada pemilik akaun MyPuspakom membuat tempahan temu janji antara 100 hingga 500 tempahan dalam talian dalam masa sebulan, namun tidak hadir menjalankan pemeriksaan kenderaan pada waktu temu janji.

"Akibat daripada ini, slot temu janji MyPuspakom kerap penuh. Kumpulan-kumpulan ini dipercayai adalah orang tengah atau 'runner' yang menjalankan aktiviti mengaut keuntungan dengan menawarkan slot-slot temu janji yang ditempah mereka kepada pelanggan yang benar-benar ingin menjalankan pemeriksaan kenderaan terutamanya di pusat pemeriksaan di Lembah Klang," katanya.

Menurut kenyataan itu, pengguna akaun MyPuspakom yang mempunyai kekerapan menjadualkan semula tempahan, membuat pembatalan dan memohon pembayaran balik akan dipantau dan disekat oleh sistem MyPuspakom secara automatik.

"Polisi pemulangan bayaran balik MyPuspakom juga akan diperketatkan bertujuan untuk menghapuskan penyalahgunaan sistem tempahan oleh pengguna akaun yang tidak bertanggungjawab.

"Mulai 10 Oktober ini, Puspakom tidak akan mempertimbangkan sebarang permohonan pembayaran balik berdasarkan situasi berikut iaitu mereka tidak hadir untuk pemeriksaan kenderaan pada tarikh temu janji; mereka tidak dapat membuat pemeriksaan kerana tidak membawa dokumen lengkap; mereka membawa kenderaan yang berbeza dari kenderaan yang dinyatakan dalam slip pengesahan temu janji dan mereka yang gagal memenuhi lain-lain terma dan syarat yang ditetapkan.

"Puspakom juga tidak akan membenarkan maksimum sehingga tiga tempahan temu janji bagi kenderaan persendirian untuk setiap pelanggan dalam sehari," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Puspakom percaya dengan mengetatkan kawalan ini lebih banyak lagi slot temu janji untuk tempahan bagi kenderaan persendirian mahupun perdagangan melalui platform MyPuspakom dan memberi jaminan ketersediaan slot pemeriksaan tidak akan melebihi tiga hari bekerja berbanding sebelum ini iaitu tujuh hari atau lebih.

"Puspakom menggesa pelanggan terutamanya pengusaha-pengusaha kereta baharu dan terpakai untuk tidak melanggan perkhidmatan 'runner' yang tidak beretika dan berhenti membeli slot temu janji daripada mereka.

"Pelanggan boleh menghubungi 03-2052 8989 atau menghantar emel kepada whistleblower@puspakom.com.my dengan segera sekiranya dihubungi orang tengah atau 'runner' yang menawarkan slot pemeriksaan yang kebiasaannya menjual dengan harga yang amat tinggi," katanya.

"Pengguna akaun MyPuspakom dinasihatkan untuk membaca terma dan syarat di www.mypuspakom.com.my untuk maklumat lanjut," katanya.