Lima individu langgar perintah kuarantin ditahan

Lima individu termasuk dua warga asing yang memakai gelang kuarantin Covid-19 ditahan di sini semalam kerana melanggar perintah kuarantin di rumah.
Lima individu termasuk dua warga asing yang memakai gelang kuarantin Covid-19 ditahan di sini semalam kerana melanggar perintah kuarantin di rumah.
A
A
A

LABUAN - Lima individu termasuk dua warga asing yang memakai gelang kuarantin Covid-19 ditahan di sini semalam kerana melanggar perintah kuarantin di rumah.

Ketua Polis Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, penahanan pertama melibatkan pengurus sebuah syarikat swasta berusia 50 tahun dari Sabah, yang didapati memasuki premis agensi kerajaan di sini, kira-kira jam 9.30 pagi.

“Lelaki berkenaan memasuki premis itu dipercayai atas urusan peribadi dan pengawal keselamatan yang menyedari kehadirannya, telah membuat laporan polis.

“Kami menahannya pada hari yang sama (Selasa) jam 7 petang di rumahnya di Taman Perumahan Mutiara. Polis telah mengambil keterangan daripadanya untuk siasatan lanjut dan lelaki itu telah dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya kepada Bernama.

Muhamad Farid berkata, lelaki itu yang isterinya berasal dari Labuan, memasuki pulau itu pada 27 September dan dikenakan perintah kuarantin di rumah selama 14 hari sehingga 10 Oktober oleh kakitangan perubatan Jabatan Kesihatan Labuan, setelah tiba di Terminal Feri Labuan Ro-Ro.

"Lelaki itu turut diberi amaran untuk tidak keluar dari rumahnya sehingga tamat kuarantin dan berdepan tindakan mahkamah setelah siasatan terhadapnya selesai.

"Selain itu, empat lagi individu ditahan pagi ini termasuk dua wanita yang turut berusaha memasuki pejabat agensi kerajaan kerana masalah dokumentasi perjalanan, manakala dua yang lain adalah kontraktor tempatan," katanya.

Muhamad Farid berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa dan Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.- Bernama

Artikel Berkaitan: