Tunggu SOP Arab Saudi sebelum tetapkan kos umrah

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri -Foto Bernama
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri -Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Agensi pengelola umrah disaran menunggu prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi sebelum menetapkan kos sebenar yang akan dikenakan kepada jemaah umrah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, buat masa ini, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi masih belum mengeluarkan SOP pelaksanaan ibadah umrah dalam suasana koronavirus (Covid-19) yang belum pulih.

Beliau berkata, SOP yang dikeluarkan nanti akan menetapkan bilangan jemaah dalam penerbangan, bilangan jemaah bilik penginapan, bilangan jemaah dalam bas dan lain-lain.

Jelas Zulkifli, kos pengangkutan dan penginapan adalah antara yang dijangka mengalami perubahan.

Kos pengangkutan dan penginapan adalah antara yang dijangka mengalami perubahan. - Foto AFP
Kos pengangkutan dan penginapan adalah antara yang dijangka mengalami perubahan. - Foto AFP

"Jadi kita harap, agensi-agensi pengelola umrah itu dapat menunggu terlebih dahulu sebelum menetapkan sebarang kos kepada jemaah yang ingin menunaikan umrah.

"Kerajaan juga telah mendapatkan maklum balas Kedutaan Arab Saudi di Malaysia dan setakat ini, tidak ada sebarang pengumuman terbaharu berhubung hal tersebut," katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Tambah Zulkifli, kerajaan akan sentiasa berusaha mendapatkan perkembangan semasa dan terkini daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dan bekerjasama dengan agensi pengelola umrah bagi memudahkan pelaksanaan ibadah umrah bagi umat Islam di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, sebuah akhbar tempatan melaporkan tentang kerisauan beberapa pengendali syarikat umrah berhubung kos menunaikan ibadah umrah berikutan levi pelepasan udara ke luar negara yang dijangka meningkat sebanyak 25 peratus.

Susulan itu, rata-rata pengendali syarikat umrah dilaporkan mungkin akan menaikkan harga pakej umrah kepada pelanggan antara 20 ke 30 peratus berikutan peningkatan kos levi serta caj lain yang bakal dikenakan oleh Kerajaan Arab Saudi.