Empat Exco Kedah dinasihat tidak hadir mesyuarat

Muhammad Sanusi (tiga dari kanan) bersama barisan Exco Kedah pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Muhammad Sanusi (tiga dari kanan) bersama barisan Exco Kedah pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Empat Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Kedah yang terlibat dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru- baru ini dinasihatkan tidak menghadiri Mesyuarat Exco hari ini.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tindakan berkenaan diambil bagi menyekang penularan wabak koronavirus (Covid-19) selepas kemunculan beberapa kluster seperti Sivagangga, Muda, Tawar, Sungai dan Telaga di negeri ini.

Menurutnya, beliau difahamkan bahawa mereka yang balik dari Sabah dikenakan arahan menjalani kuarantin di rumah dan akan mengikuti perkembangan terbaru isu itu pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri Covid-19 hari ini.

"Terdapat empat Exco Kedah yang hadir, mungkin tidak semua kena kuarantin disebabkan ada balik sebelum 27 hari bulan peraturan lain, yang balik selepas 27 hari bulan peraturan lain dan saya tidak pasti mereka balik bila.

"Jadi saya nasihatkan mereka supaya tidak hadir mesyuarat hari ini dan akan merujuk dengan Jabatan Kesihatan berkaitan situasi mereka. Ini bukanlah bermakna mereka dijangkiti Covid-19 tetapi sebagai langkah berhati-hati," katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan siapakah empat Exco yang pergi ke Sabah berkenaan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kira-kira 88 keluarga di Flat Tongkang Yard, di sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara bersasar diuruskan dengan baik dari segi keperluan mereka.

Artikel Berkaitan: