X

Kindly register in order to view this article
!

Masih ramai terus ingkar PKPP: Ismail Sabri

Ismail Sabri Yaakob
A
A

KUALA LUMPUR - Masih ramai yang terus ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) apabila seramai 98 individu ditahan semalam dengan 34 daripada mereka kerana aktiviti di dalam pub dan kelab malam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesalahan lain termasuk penjarakkan fizikal sebanyak 24 kes, tidak memakai pelitup muka (22), gagal melunaskan caj kuarantin (10) dan gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri (lapan).

"Daripada 98 yang ditahan itu, 95 individu dikompaun dan tiga lagi direman," katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan PKPP di sini hari ini.

Beliau berkata, semalam turut menyaksikan seramai 34 pendatang asing tanpa izin dan empat penyeludup ditahan dalam Operasi Benteng yang dijalankan bagi memastikan sempadan negara tidak dibolosi.

Sebanyak 84 sekatan jalan raya Ops Benteng dijalankan semalam oleh pelbagai agensi penguat kuasa, katanya.

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, hasil pemeriksaan khas oleh penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) semalam mendapati sebanyak 1,186 premis perniagaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKPP manakala 18 premis diberi nasihat kerana tidak patuh.

Mengenai kuarantin wajib, Ismail Sabri berkata, sejak 24 Julai sehingga semalam, seramai 37,452 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan telah ditempatkan di 67 buah hotel dan 11 premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta Institusi Pengajian Swasta.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 8,144 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, 106 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan manakala 29,202 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang.

"Mereka telah pulang dari 33 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Laos, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat," katanya. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Heret ke mahkamah, tarik balik lesen kelab malam degil


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!