Penjual santan edar dadah dihukum gantung

Penjual Santan, R Siva Raman, 48 dijatuhi hukuman gantung oleh Mahkamah Tinggi hari ini, selepas didapati bersalah mengedar dadah dua tahun lalu. - Foto Bernama
Penjual Santan, R Siva Raman, 48 dijatuhi hukuman gantung oleh Mahkamah Tinggi hari ini, selepas didapati bersalah mengedar dadah dua tahun lalu. - Foto Bernama
A
A
A

GEORGE TOWN - Seorang penjual santan dijatuhi hukuman gantung oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah, dua tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Radzi Abdul Hamid menjatuhkan hukuman itu terhadap R Siva Raman, 48, selepas mendapati dia gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Dalam penghakimannya, Mohd Radzi berkata, keterangan tertuduh tidak boleh dipercayai selain banyak menimbulkan keraguan.

Seramai dua saksi pembelaan dan lima saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan kes itu.

Siva Raman didakwa mengedar kanabis seberat 208.0 gram di hadapan pusat makanan dan minuman di Jalan Rozhan, Alma, Bukit Mertajam pada 8.15 malam, 16 Januari 2018.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup atau jika tidak dikenakan hukuman mati, boleh dikenakan hukuman sebat sehingga 15 sebatan jika sabit kesalahan.

Sementara itu di mahkamah sama, seorang suri rumah mampu menarik nafas lega apabila mahkamah melepaskan dan membebaskannya daripada tuduhan mengedar dadah, dua tahun lepas.

S Vasugi, 42, dilihat menangis sebaik mahkamah menyampaikan keputusan terhadapnya dan sejurus gari dibuka oleh anggota polis di dalam mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Mohd Radzi melepas dan membebaskan wanita itu tanpa memanggilnya membela diri setelah mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes di akhir kes pendakwaan.

Vasugi dituduh mengedar dadah jenis heroin seberat 32.3 gram dan 44 gram dadah ‘monoacetylmorphinnes’ di Jalan Chain Ferry, Kampung Perlis, Butterworth di sini pada 1.50 petang, 18 April 2018. Dia dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Lim Saw Sim manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Hussaini Abdul Rashid. - Bernama