Proton X50 terima sambutan menggalakkan

Proton X50
Proton X50
A
A
A

KUALA LUMPUR - Proton X50 yang begitu dinanti-nantikan menerima sambutan menggalakkan daripada pelanggan sejak previu awalnya di Tanjung Malim, Perak baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, tempahan bagi kenderaan utiliti sukan (SUV) itu mengatasi sasaran awalnya pada 4,000 unit meskipun belum lagi dilancarkan secara rasmi.

"Ini merupakan kereta segmen-B pertama bagi Proton dan dengan harga yang bersesuaian, kami yakin dapat meraih bahagian pasaran,” katanya semasa previu media X50, di sini hari ini.

Roslan berkata, Proton berusaha keras untuk memenuhi tempahan bagi memastikan tempoh menunggu yang tidak lama bagi pelanggannya.

Apabila ditanya sama ada kegawatan ekonomi yang disebabkan oleh pandemik Covid-19 boleh menjejaskan jualan, beliau berkata, daripada respons yang diperoleh setakat ini impaknya adalah minimum.

"Pengecualian cukai jualan memberi dorongan yang diperlukan kepada Proton dan kami berharap kerajaan akan menimbang melanjutkan pengecualian cukai bagi tempoh tiga bulan lagi,” katanya.

Dari segi keyakinan pelanggan dan pelabur, Roslan berkata, sejak pelancaran SUV pertama Proton, X70 pada Disember 2018, tahap keyakinan terhadap jenama itu meningkat dengan ketara.

"Kami menyasar menambah baik perkhidmatan selepas jualan kami untuk menjadi nombor satu di negara ini menjelang September depan. Ini bermakna, kurang aduan daripada pelanggan dan alat-alat ganti yang mencukupi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Setakat ini, Proton masih belum menyenaraikan harga bagi X50 tetapi pelancaran rasmi SUV itu dijangkakan pada bulan depan. - Bernama