Tak perlu wakil Cina dalam Kabinet Sabah: Ahmad Shabery

Tangkap layar Facebook Ahmad Shabery Cheek
Tangkap layar Facebook Ahmad Shabery Cheek
A
A
A

SHAH ALAM - Masyarakat Cina di Sabah tidak perlu meminta kuota meletakkan pemimpin mereka sebagai wakil dalam Kabinet kerajaan negeri berdasarkan atas prinsip meritokrasi.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, parti DAP yang menang enam dari tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di semua kawasan majoriti pengundi kaum Cina.

“DAP dikatakan pemenang terbesar PRN Sabah. Menang enam dari tujuh kerusi yang ditandingi. Difahamkan semua kawasan majoriti pengundi kaum Cina.

“Malangnya parti yang menaungnya, Parti Warisan Sabah (Warisan) Plus kalah keseluruhan. Mungkin tidak ada wakil kaum Cina dalam Kabinet kerajaan negeri.

“Atas prinsip meritokrasi, kalau kalah, tak perlu mintak apa-apa kuota. Bolehkah begitu?” tanya Ahmad Shabery.

Semalam Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Mohd Noor berkata, ketiadaan wakil masyarakat Cina dalam Kabinet baharu negeri Sabah akan dibincangkan dalam kalangan pemimpin Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Menurutnya, isu itu adalah antara pertimbangan yang akan diambil kira dalam pelantikan lima lagi jawatan menteri, selain jawatan pembantu menteri bagi melengkapkan barisan Kabinet negeri.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan pimpinannya akan mewujudkan semula Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik untuk membolehkan masyarakat Cina dan minoriti dibawa masuk dalam Kabinet beliau.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merangkumi kerjasama PN, BN dan PBS tidak memiliki ADUN mewakili masyarakat Cina selepas semua calonnya kalah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu.

Pada PRN itu, GRS meletakkan calon BN daripada MCA, calon PN daripada Parti Maju Sabah (SAPP) dan calon Cina daripada PBS di kerusi majoriti Cina, namun semuanya kalah di tangan Warisan dan rakan sekutunya.

Antara kerusi majoriti Cina itu ialah Api-Api yang ditandingi calon PBS, Datuk Dr Yee Moh Chai; calon MCA, Lu Yen Tung (Kapayan) dan Dr Chang Kee Ying (Likas) selain calon SAPP di Luyang dan Tanjung Papat.

Semua kerusi majoriti Cina dipertandingkan dalam PRN Sabah kali ini disapu bersih Warisan Plus dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).