Polis kemaskan kertas siasatan Khairuddin

 Huzir Mohamed
Huzir Mohamed
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis akan memperkemaskan kertas siasatan berhubung kes Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang melanggar arahan kuarantin wajib.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, Jabatan Peguam Negara telah mengarahkan beberapa perkara yang perlu diambil tindakan.

"Ada beberapa tindakan perlu dilaksanakan dalam masa terdekat mengikut arahan Jabatan Peguam Negara.

"Setelah selesai, kertas siasatan akan diserahkan semula kepada Jabatan Peguam Negara," katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman di sini semalam.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa polis merakam keterangan Ahli Parlimen Kuala Nerus itu bagi membantu siasatan berhubung kegagalannya mematuhi kuarantin wajib di rumah setelah pulang dari Turki pada 7 Julai lalu.

Kementerian Kesihatan dilaporkan menyerahkan kertas siasatan dalaman pihaknya berhubung isu pelanggaran kuarantin oleh Mohd Khairuddin kepada polis untuk tindakan lanjut.

Mohd Khairuddin turut dikompaun sebanyak RM1,000 oleh kementerian atas kesalahan itu.

Dalam perkembangan lain, Huzir berkata, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah akan merekod keterangan bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berhubung dakwaannya mengenai pencerobohan Lahad Datu oleh pengganas Sulu sebagai sandiwara.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, janji temu telah dibuat serta dipersetujui Mohamaddin bagi membolehkan rakaman percakapan dilakukan.

"Satu pasukan ditubuhkan terdiri daripada JSJ Sabah akan rekod percakapan bekas menteri itu di Sabah dalam masa terdekat," katanya.

Sebelum ini, Mohamaddin memohon maaf kepada anggota keselamatan berhubung video tular mempersendakan pasukan keselamatan.

Mohamaddin dilaporkan berkata, kenyataan yang diucapkan dalam video klip terbabit menimbulkan salah faham.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis serah kertas siasatan kes Mohd Khairuddin esok

Khairuddin masuk hospital akibat tidak cukup rehat.