Kontrak Datuk Bandar KL, Presiden PPj tamat

Nor Hisham (kiri) dan Aminuddin Hassim.
Nor Hisham (kiri) dan Aminuddin Hassim.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tempoh kontrak Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Dr Aminuddin Hassim tamat pada hari ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menerusi ciapan di Twitternya hari ini.

"Datuk Bandar KL Dan Presiden Perbadanan Putrajaya,masing masing tamat tempoh lantikan mereka(kontrak) hari ini.

"Mereka telah berkhidmat dengan cemerlang," ciapan Annuar jam 11.47 pagi tadi.

Annuar berkata, kekosongan jawatan itu akan diisi dengan segera mengikut prosedur ditetapkan.

"Pelantikan baru atau pembaharuan kontrak(jika ada) perlu melalui prosedur yang tertentu. Ia akan disegerakan, insya-ALLAH" katanya.

Nor Hisham merupakan bekas Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mengisi jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur pada 2 Oktober 2018, menggantikan Tan Sri Mhd Amin Nordin Abd Aziz yang menamatkan perkhidmatan pada 30 September tahun sama.

Aminuddin yang sebelum ini merupakan Pengarah Unit Strategi Nasional (NSU) Kementerian Kewangan dilantik sebagai Presiden PPj yang ke-5 menggantikan Datuk Seri Hasim Ismail yang tamat perkhidmatan pada 31 Julai 2018.

Artikel Berkaitan: