Pejuang Kelantan rayu RoS segerakan kelulusan parti

Wan Marzudi (duduk, tiga dari kanan) bersama sebahagian daripada kepimpinan Pejuang Kelantan merayu RoS mempercepatkan kelulusan pendaftaran parti tersebut.
Wan Marzudi (duduk, tiga dari kanan) bersama sebahagian daripada kepimpinan Pejuang Kelantan merayu RoS mempercepatkan kelulusan pendaftaran parti tersebut.
A
A
A

PASIR PUTEH - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Kelantan merayu kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) agar mempercepatkan kelulusan pendaftaran parti itu.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penaja Kelantan, Kapten (B) Wan Marzudi Wan Omar berkata, kelulusan segera itu amat penting bagi memudahkan parti itu merangka gerak kerja bagi berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

"Oleh itu, saya mewakili akar umbi Pejuang di Kelantan berharap RoS dapat memberikan kelulusan segera kepada Pejuang.

"Ia sangat penting buat kami dalam mendukung aspirasi perjuangan parti pada masa hadapan," katanya kepada pemberita di Semerak, di sini hari ini.

Menurutnya, Pejuang Kelantan menanti dengan penuh semangat kelulusan itu dalam menarik sokongan padu rakyat terhadap parti berkenaan.

Katanya, kelulusan itu juga bakal menjadi tonik berharga buat mereka untuk terus berjuang membela nasib rakyat di negeri ini.

"Saya akui sokongan rakyat Kelantan terhadap Pejuang memang ada dan itu kita terjemahkan menerusi 14 bahagian yang telah wujud di seluruh negeri.

"Kebanyakan mereka ini adalah bekas ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang telah meninggalkan parti itu selepas mereka lari daripada perjuangan asal," katanya.

Artikel Berkaitan:

Wan Marzudi berkata, pihaknya kekal berdiri teguh di belakang Tun Dr Mahathir Mohamad yang merupakan tunjang kepada perjuangan Parti Pejuang.

Katanya, setakat ini Pejuang mempunyai hampir 9,000 penyokong di Kelantan.

"Teras perjuangan kita adalah agama, bangsa dan tanah air. Kita menolak budaya rasuah yang telah menjadi 'barah' dalam perjuangan politik negara pada hari ini," katanya.

Wan Marzudi berkata, beliau mewakili saf kepimpinan parti berterima kasih dan terharu kepada seluruh penyokong akar umbi yang terus setia bersama Pejuang.

Katanya, sokongan itu menjadi 'tulang belakang' kepada Pejuang Kelantan untuk terus mengorak langkah dalam usaha menarik lebih banyak sokongan rakyat.