Tujuh ahli Geng 21 samun bersenjata ditahan

Ayob Khan menunjukkan gambar B Sarjit Singh yang dikehendaki pihak polis kerana terlibat dalam kegiatan samun dan tembak selepas sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru hari ini.
Ayob Khan menunjukkan gambar B Sarjit Singh yang dikehendaki pihak polis kerana terlibat dalam kegiatan samun dan tembak selepas sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai tujuh ahli Geng 21 di kawasan Iskandar Puteri ditahan pada 10 September lalu kerana terlibat satu kegiatan samun bersenjata api di hadapan G-Residence Pangsapuri Permai Plentong di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua penjenayah yang berumur 23 hingga 44 tahun itu ditahan pihak Jabatan Siasatan Jenayah Johor (JSJN) menerusi beberapa operasi khas di kawasan berkenaan.

"Mereka ditahan kerana terlibat dalam kejadian samun, cubaan bunuh dan melepaskan beberapa das tembakan terhadap sebuah kereta di hadapan pangsapuri itu jam 8.30 malam pada 8 Mac lalu.

"Kereta berkenaan dinaiki empat mangsa berusia 19 hingga 28 tahun.

"Mereka cuba dirompak dan ditembak tiga penjenayah bersenjatakan sepucuk pistol," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Kata Ayob Khan, modus operandi kumpulan itu dalam kejadian tersebut adalah dengan melanggar belakang kereta mangsa sebelum turun dan melepaskan lima das tembakan.

Beliau berkata, satu daripada tembakan itu menembusi peha kanan seorang mangsa sebelum suspek melarikan diri dan tidak mempèroleh wang atau sebarang barang berharga milik mangsa.

Ayob menjelaskan, kesemua mangsa merupakan orang awam serta tiada kaitan dengan mana-mana kongsi gelap sekali gus menafikan kejadian itu melibatkan pergaduhan antara dua kumpulan samseng.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, katanya, satu pasukan siasatan khas ditubuhkan JSJN dibantu Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman untuk mengesan dan menangkap suspek yang terlibat.

Hasil tangkapan itu katanya, tujuh suspek ditahan dan dua daripadanya dituduh di bawah Seksyen 3A Akta Senjata Api 197,1 manakala seorang lagi diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca).

Katanya, dua daripada suspek itu mempunyai rekod jenayah lampau antaranya di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan; Seksyen 3(1) Akta Culik; Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953; Seksyen 39B dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 4A1 Poca.

Pihaknya juga giat memburu seorang lagi rakan penjenayah yang masih bebas iaitu B Sarjit Singh, 23, berasal dari Kampung Sungai Plentong, Masai.

"Polis Johor menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan suspek ini agar segera menghubungi Pegawai Penyiasat kes ini, Asisten Superitendan Hafizudin Mohamad menerusi talian 010-400 8930 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.