Pemilik kebun pisang terlepas hukuman gantung

Ismail (dua dari kanan) dibawa ke Mahkamah Tinggi Terengganu hari ini.
Ismail (dua dari kanan) dibawa ke Mahkamah Tinggi Terengganu hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMASKINI] Seorang pengusaha kebun pisang terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini menggantikan pertuduhan membunuh kepada membunuh tanpa niat sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki yang mencuri pisang di kebunnya dua tahun lalu.

Ismail Mohd Don, 40, menarik nafas lega selepas Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed memutuskan pertuduhan Seksyen 302 Kanun Keseksaan diturunkan kepada Seksyen 304 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, Ismail dijatuhi hukuman penjara selama 14 tahun bermula tarikh ditangkap pada 3 Disember 2018.

Sebelum ini, dia didakwa menyebabkan kematian Salahuddin Ismail, 48, apabila memukul kepala mangsa dengan sebatang besi dalam kejadian di luar sebuah rumah di Kampung Tebakang, Bukit Payong, Marang antara jam 3.15 petang hingga 3.45 petang pada 3 Disember 2018.

Dalam kejadian itu, mangsa menimbulkan provokasi ke atas Ismail sehingga mendatangkan kemarahan.

Datuk Abdul Wahab dalam keputusan akhir pendakwaan berkata, perbuatan mangsa (mencuri pisang) secara munasabah membangkitkan rasa marah dalam diri tertuduh yang menjual pisang sebagai sumber pendapatan sehingga gagal mengawal perasaan.

"Tertuduh tiada niat untuk membunuh. Beliau terlalu marah kerana melihat perbuatan itu sehingga gagal mengawal kemarahan lalu bertindak memukul mangsa sebanyak satu kali dengan sebatang besi sebelum melemparkan pisang kepada mangsa.

"Si mati bukan sahaja mendatangkan provokasi kepada tertuduh, malah menimbulkan kemarahan tertuduh. Mereka juga tidak pernah mengenali antara satu sama lain dan tiada bukti menunjukkan mereka saling mengenali dan mempunyai motif membunuh," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amer Abu Bakar Abdullah dan Ahmad Fadhli Mahmud, manakala Ismail diwakili peguambela, Mohd Hayyatuddin Mohamad dan Che Amir Che Musa.

Seramai 15 saksi pendakwaan telah dipanggil sepanjang prosiding kes.

Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki ditemukan mati dalam keadaan tertiarap bersama dua tandan pisang di belakang sebuah rumah di Kampung Tebakang, Marang, Terengganu.