X

Kindly register in order to view this article
!

Penerima BYDPA pakar pelbagai bidang

Penerima-penerima Biasiswa Yang di-Pertuan Agong bagi sesi pengajian 2020/2021.
A
A

SEJAK diperkenalkan hampir 15 tahun lalu, Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) menjadi pendorong semangat kepada kesemua penerima untuk berjaya dalam hidup termasuk tiga daripadanya kini bergelar pakar dalam bidang kejuruteraan, matematik dan undang-undang.

Dengan kepakaran yang dimiliki, penerima biasiswa berprestij dinaungi institusi tertinggi negara iaitu Yang di-Pertuan Agong serta Majlis Raja-Raja itu yang kini berkhidmat di sektor kerajaan dan swasta turut menyumbbidangang kepada pembangunan negara.

Jurutera di Gamuda Bhd (Gamuda), Boon Chia Weng, 33, berkata, BYDPA membantunya melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Kejuruteraan Geoteknik di University of Oxford, England dan beliau menamatkan pengajian pada tahun 2013.

“Saya bertuah kerana sejak tujuh tahun lepas, Gamuda memberikan peluang kepada saya untuk menggalas tanggungjawab sebagai Jurutera Geoteknik untuk pakej kerja-kerja bawah tanah bagi dua projek mega iaitu Aliran Transit Massa (MRT) Sungai Buloh-Kajang (SBK) dan Sungai Buloh-Serdang Putrajaya (SSP).

“Walaupun terlibat dengan kerja-kerja pembinaan yang agak mencabar, saya berasa bangga kerana terowong MRT telah siap dibina di Kuala Lumpur. Saya juga gembira kerana subkontraktor dan pembekal tempatan telah bekerjasama dalam menjayakan projek-projek ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Ditanya mengenai perkara utama yang boleh diaplikasikan bagi menambah baik bidang kejuruteraan di negara ini berdasarkan pengalaman pengajiannya di University of Oxford, Chia Weng berkata, ketika pengajian, salah seorang penyelianya merupakan seorang pensyarah terkenal di dunia, iaitu Rankine Lecturer.

“Topik utama beliau adalah offshore foundations. Tetapi, pada masa itu, saya lebih yakin aplikasi terowong batu lebih berguna di Malaysia dan saya mendalami bidang ini hasil perkongsian ilmu beliau selain saya jadikan matematik sebagai bidang sampingan.

“Setakat ini, hasil komputer algorithm open-source digunakan untuk mengkaji batu telah digunakan di Eropah, Amerika Syarikat dan Brazil.

“Nama Malaysia juga ditayangkan di laman web International Society for Rock Mechanics and Rock Engineering (ISRM) kerana tesis saya telah dianugerahkan dengan Rocha Medal pada tahun 2016,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan di Jabatan Sains Matematik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Fatimah Abdul Razak, 36, berkata, menerusi tajaan BYDPA, beliau berjaya memperoleh PhD dalam bidang matematik di Imperial Collage, London pada tahun 2013.

Menurutnya, melalui kepakarannya dalam bidang matematik, beliau fokus untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang pelbagai unsur matematik dalam kehidupan yang sangat banyak tetapi tidak disedari.

Menyedari tajaan BYDPA merupakan idaman setiap pelajar, beliau sering berkongsi aspirasi supaya pelajar menggunakan kelebihan masing-masing untuk mengejar kecemerlangan.

“Setiap orang ada kelebihan dan kekurangan. Fikirkanlah cara terbaik untuk menggunakan kelebihan itu. Buatlah sesuatu bukan kerana mengejar kestabilan kewangan sahaja tetapi kerana ia cara terbaik untuk menyumbang kepada dunia dan masyarakat sekeliling,” katanya.

Dalam pada itu, kejayaan sama turut dicapai, pemegang Ijazah Sarjana Undang-Undang dari Universiti Harvard, Shivanand Sivamohan, 30, yang kini berkhidmat sebagai Penolong Pengarah di Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia di bawah Kementerian Luar Negeri.

Shivanand Sivamohan, Boon Chia Weng, Fatimah Abdul Razak
Shivanand Sivamohan, Boon Chia Weng, Fatimah Abdul Razak

Beliau mula menjawat jawatan itu pada Jun 2017 dan berkhidmat sehingga kini selepas mula dilantik sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) pada 27 Mei 2017.

Menurutnya, dengan kelulusan yang dimilikinya, beliau mempunyai impian untuk melakukan transformasi dalam perkhidmatan awam seiring dengan penekanan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) terhadap pembinaan modal insan yang berkaliber.

“Saya berhasrat untuk turut menyumbang dalam inisiatif meningkatkan pengetahuan awam mengenai program biasiswa JPA termasuk BYDPA.

“Pada pandangan saya, usaha-usaha pihak JPA untuk mempromosikan biasiswa ini akan mendorong lebih ramai golongan muda di negara kita untuk melanjutkan pengajian di institusi terkemuka tempatan dan antarabangsa serta membangunkan kepakaran dalam bidang-bidang tertentu,” katanya.

Susulan itu, beliau berharap lebih banyak program bimbingan dan mentorship boleh dipertimbangkan untuk penerima biasiswa JPA sepanjang tempoh pengajian mereka, termasuk sesi dialog bersama pegawai-pegawai kanan kerajaan serta internship bersama pelbagai kementerian dan jabatan.

Berkongsi petua kejayaan menerima tajaan BYDPA pula, Shivanand berkata, kriteria yang ditetapkan untuk penerima biasiswa itu bukan hanya merangkumi aspek akademik, tetapi juga penglibatan aktif dalam aktiviti kokurikulum atau kemasyarakatan.

Justeru katanya, pemohon-pemohon yang berminat seharusnya mengambil pendekatan menyeluruh dalam merangka visi peribadi mereka selain persediaan rapi juga diperlukan untuk melalui proses saringan dengan jayanya.

“Generasi muda di negara ini perlu mempunyai keyakinan penuh untuk memohon kemasukan ke program-program bertaraf antarabangsa, tanpa meragui bakat dan kebolehan masing-masing.

“Mereka perlu beriltizam untuk melanjutkan pengajian di bawah BYDPA iaitu biasiswa unggul yang ditawarkan kerajaan Malaysia di bawah JPA,” katanya.

Sehingga kini seramai 172 pelajar telah menikmati penajaan BYDPA yang membabitkan 84 peringkat Ijazah Sarjana dan 88 peringkat PhD sejak ia diperkenalkan pada tahun 2006.

Biasiswa itu ditawarkan untuk mengiktiraf kebolehan luar biasa warganegara Malaysia, di samping memberikan mereka peluang untuk melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana dan PhD di universiti dalam dan luar negara.

Bidang pengajian di bawah tajaan BYDPA meliputi empat bidang utama iaitu Sains dan Teknologi yang mula ditawarkan pada 2006, Ekonomi (2007), Undang-undang (2007) dan Kewangan Islam (2014).


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!