Anwar kecewa kerajaan tidak lanjut moratorium


ANWAR
ANWAR
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui kecewa dengan keputusan kerajaan apabila tidak melanjutkan moratorium pinjaman selama tiga bulan seperti yang digesa.

Menurut Anwar, walaupun tidak semestinya moratorium penuh, namun ia suatu pengabaian tanggungjawab yang amat serius apabila kerajaan gagal untuk mengenakan moratorium bersasar.

Ahli Parlimen Port Dickson itu turut menyifatkan keputusan kepimpinan pada hari ini lemah kerana meletakkan para peminjam di bawah telunjuk institusi bank.

"Menurut laporan terkini, bank-bank secara umumnya menghubungi seramai 1.4 juta peminjam, di mana sejumlah 380,000 daripada angka tersebut telah memohon untuk lanjutan pinjaman dan bantuan kewangan.

"Daripada 380,000 itu, sebanyak 98 peratus telah diberikan dokongan kewangan oleh institusi bank. Meski saya puji langkah tersebut, namun yang seharusnya diambil kira adalah terdapat 8.3 juta peminjam di Malaysia," kata Anwar dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelas Anwar, secara ringkasnya, bank-bank hanya dapat berhubung dengan 17 peratus daripada jumlah keseluruhan peminjam.

Katanya lagi, angka itu tidak begitu meyakinkan dan ia mencerminkan betapa kerajaan Persekutuan dan institusi bank masih belum memahami sentimen keseluruhan para peminjam.

Sehubungan itu, Anwar menggesa kerajaan untuk segera mengkaji semula langkah itu dan melaksanakan moratorium pinjaman secara bersasar, dengan fokus utama adalah kepada peminjam yang berpendapatan rendah dan pengusaha-pengusaha kecil dan sederhana.

Artikel Berkaitan:

"Kita belum nampak sebarang dampak pemulihan yang berkesan terutamanya dalam aspek sumber pendapatan golongan berpendapatan rendah atau aliran masuk yang stabil kepada pengusaha-pengusaha kecil di Malaysia.

"Kelas peminjam seperti itu mesti diberi perhatian oleh kerajaan. Meskipun saya sangat komited terhadap kebijakan sistem perbankan yang bingkas, namun harus ditegaskan bahawa sektor tersebut mesti telus dan ada kebertanggungjawaban," katanya.

Malah, kata Anwar, kerajaan dan institusi bank mesti menonjolkan ketelusan dalam soal kecairan (liquidity) dan keuntungan terkini sektor perbankan serta membentangkannya dalam Parlimen supaya ahli Parlimen dapat merencana, mencari jalan dan memungkinkan kebajikan yang munasabah dan menyeluruh.

Dalam perkembangan lain, katanya, beliau ambil maklum jumlah jangkitan pandemik koronavirus (Covid-19) yang kini mencecah 11,000 kes dan jumlah kes aktif melepasi angka 1,000 untuk pertama kali sejak pertengahan bulan Jun lalu.

"Kita mungkin akan dirempuh gelombang kedua wabak itu dengan sekurang-kurangnya 20 kluster baharu yang aktif.

"Ia bukan perkembangan yang baik pada ekonomi Malaysia untuk jangka pendek dan itu bermakna kita harus terus memikir dan mendukung golongan berpendapatan rendah yang semestinya akan terkesan," katanya.