Staf pejabat MP Lembah Pantai positif Covid-19

Fahmi menjalani saringan Covid-19 di Klinik Kesihatan Tanglin, Kuala Lumpur pagi ini. - Foto FB Fahmi Fadzil.
Fahmi menjalani saringan Covid-19 di Klinik Kesihatan Tanglin, Kuala Lumpur pagi ini. - Foto FB Fahmi Fadzil.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dilaporkan menjalani swab test selepas salah seorang kakitangan di pejabatnya yang baru pulang dari Sabah disahkan positif koronavirus (Covid-19).

Menurut Fahmi, beliau dan kesemua kakitangan pejabatnya bertindak ke Klinik Kesihatan Tanglin di sini bagi menjalani saringan Covid-19 pada pagi tadi sebelum kuarantin di rumah.

"Semalam salah seorang staf pejabat saya yang baru pulang dari Sabah pada 25 September lalu telah disahkan positif Covid-19. Beliau dibawa ke Hospital Sungai Buloh (Selangor) untuk rawatan dan isolasi.

"Memandangkan staf tersebut merupakan kontak rapat kami, pagi ini kami jalani ujian saringan Covid-19 dan kuarantin di rumah," kongsinya di laman sosial Facebooknya di sini hari ini.

Susulan itu, katanya, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lembah Pantai terpaksa ditutup sehingga tempoh kuarantin selesai.

Kata beliau, langkah tersebut bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pejabat Kesihatan Daerah Lembah Pantai.

"Unit dekontaminasi akan dihantar untuk proses dekontaminasi pejabat petang ini.

"Buat sementara waktu, warga Lembah Pantai yang ingin berurusan dengan pejabat (Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lembah Pantai) boleh menghubungi kami melalui laman FB ini atau melalui e-mel," katanya.

Artikel Berkaitan: