Pahang bantu rakyat kurang mampu miliki rumah

Wan Rosdy Wan Ismail
Wan Rosdy Wan Ismail
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan negeri Pahang sedang membina sejumlah 98 buah Rumah Rakyat Pahang (RRP) membabitkan peruntukan kira-kira RM6.37 juta bagi membantu golongan kurang mampu memiliki kediaman sendiri.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pembinaan RRP itu selari dengan usaha kerajaan Persekutuan memberikan bantuan kepada golongan kurang mampu dan miskin tegar supaya berupaya mendapatkan kediaman.

Menurut beliau, RTP tersebut hanya diberikan kepada pemohon atau peserta yang disahkan sebagai miskin tegar atau miskin.

"Mereka ini (peserta) tidak mempunyai rumah atau rumah sudah usang dan daif serta mestilah memiliki tanah sendiri atau mendapat kelulusan pemilik lain jika berkongsi tanah.

"Peserta juga perlu menerima syarat seperti rumah yang telah dibina tidak boleh dijual atau memajakkan rumah tersebut kepada mana-mana pihak lain," katanya dalam satu dalam satu kenyataan di laman Facebooknya di sini hari ini.

Beliau berkata, syarat itu dikenakan bagi memastikan tujuan pelaksanaan program tersebut tidak diselewengkan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab.

Jelas Wan Rosdy, selain daripada 98 buah rumah yang telah diluluskan, kerajaan negeri juga akan terus berusaha mencari jalan bagi memudahkan pemilikan rumah kepada anak-anak negeri Pahang.

“Sehingga kini, kerajaan negeri Pahang melalui kerjasama dengan kerajaan Persekutuan, agensi dan pihak swasta telah mewujudkan pelbagai program perumahan kepada rakyat seperti PR1MA Pahang, Projek Rumah Kos Sederhana, Projek Perumahan Rakyat, Projek Perumahan Makmur dan terkini RRP,” kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, penyediaan fasiliti perumahan mampu milik bukan suatu perkara yang mudah kerana dengan kadar ekonomi yang tidak menentu yang sudah tentu memberikan impak yang kurang baik kepada sektor perumahan.

Bagaimanapun, jelas beliau, kerajaan negeri Pahang tetap bertekad dan terus komited bagi mencari jalan penyelesaian agar setiap anak tempatan berupaya memiliki rumah sendiri di masa akan datang.