Guna iklan tawaran kerja perangkap mangsa

 Mohd Wazir Mohd Yusof
Mohd Wazir Mohd Yusof
A
A
A

KUANTAN - Seorang ejen insurans kerugian RM22,000 selepas tertipu dengan iklan tawaran kerja melalui laman sosial Facebook, kelmarin.

Mangsa berusia 26 tahun tertarik dengan peluang kerja ditawarkan selepas melayari laman sosial itu pada 17 September lalu tanpa menyedari ia sebenarnya 'umpan' scammer.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berurusan dengan seorang lelaki untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung peluang kerja yang diiklankan.

Menurutnya, mangsa kemudian menyerahkan salinan kad pengenalan, nombor akaun bank dan nombor PIN kad banknya seperti yang diminta untuk proses permohonan.

"Selepas dokumen itu diserahkan, mangsa menerima panggilan daripada seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai pegawai bank memaklumkan akaun banknya disekat kerana disyaki digunakan untuk aktiviti perjudian.

"Bagi mengaktifkan kembali akaun bank itu, mangsa perlu membayar RM22,000," katanya melalui satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa akur apabila membuat bayaran seperti diminta ke dua akaun bank atas nama individu berbeza pada 25 September.

"Selepas bayaran dibuat, mangsa syak telah ditipu apabila suspek gagal dihubungi sebelum tampil membuat laporan polis di Raub semalam.

Artikel Berkaitan:

"Kita buka kertas siasatan kes mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan pada masa sama permohonan akan dibuat kepada pihak bank untuk mengesan maklumat pemilik akaun yang digunakan dalam kes ini bagi membantu siasatan," katanya.