Emir Kuwait mangkat pada umur 91 tahun

Emir Kuwait, Sheikh Sabah al-Ahmad al-Jaber Al-Sabah yang memerintah sejak tahun 2006 mangkat di sebuah lokasi yang tidak didedahkan semalam. - Foto AFP
Emir Kuwait, Sheikh Sabah al-Ahmad al-Jaber Al-Sabah yang memerintah sejak tahun 2006 mangkat di sebuah lokasi yang tidak didedahkan semalam. - Foto AFP
A
A
A

BANDAR RAYA KUWAIT - Emir Kuwait, Sheikh Sabah al-Ahmad al-Jaber Al-Sabah yang dianggap sebagai pembina dasar moden negara itu mangkat semalam pada umur 91 tahun, lapor pihak istana.

"Dengan dukacita dan kesedihan kami berkabung, kemangkatan Sheikh Sabah al-Ahmad al-Jaber Al-Sabah, Emir Negara Kuwait," kata Menteri Hal Ehwal Diraja, Sheikh Ali Jarrah Al-Sabah dalam satu kenyataan menerusi televisyen.

Stesen televisyen milik kerajaan bertindak menghentikan program hariannya dan menyiarkan bacaan ayat al-Quran sebelum membuat pengumuman tersebut.

Almarhum menerima rawatan di hospital sejak Julai lalu selepas menjalani pembedahan di bandar raya Kuwait.

Tiada maklumat lanjut diberikan tentang keadaan penyakit dan rawatan Emir itu manakala pihak istana tidak menyatakan lokasi kemangkatan baginda.

Almarhum Sheikh Sabah al-Ahmad yang memerintah negara yang kaya dengan minyak itu sejak 2006 menjalani pembedahan apendiks pada tahun 2002, dua tahun selepas memasukkan alat perentak jantung.

Pada tahun 2007, baginda menjalani rawatan pembedahan saluran urin di AS.

Artikel Berkaitan:

Putera Mahkota, Sheikh Nawaf al-Ahmad Al-Sabah dijangka dilantik Emir Kuwait baharu. - Foto AFP
Putera Mahkota, Sheikh Nawaf al-Ahmad Al-Sabah dijangka dilantik Emir Kuwait baharu. - Foto AFP

Berdasarkan undang-undang Kuwait, jika ketiadaan Emir, Putera Mahkota, Sheikh Nawaf al-Ahmad Al-Sabah, 83, iaitu adik tirinya akan menjadi pemangku Emir.

Sheikh Nawaf yang pernah memegang jawatan di Kementerian Pertahanan dan Dalam Negeri dijangka dilantik menjadi ketua negara yang baharu. - AFP