FAM puji komitmen pasukan Liga-M selesaikan proses penswastaan

Mohd Firdaus Mohamed
Mohd Firdaus Mohamed
A
A
A

UKM FC dan PDRM menjadi dua pasukan terakhir yang telah melengkapkan proses penswastaan melibatkan pemisahan kelab daripada persatuan bola sepak negeri (FA) kepada kelab bola sepak (FC) sebelum tarikh akhir hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Bola Sepak Profesional Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Mohd Firdaus Mohamed berkata, PDRM dan UKM FC kini berjaya melengkapkan senarai 21 pasukan Liga Malaysia (Liga-M) 2020 selain ATM FA.

“Syukur alhamdulillah setelah lapan tahun diarahkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), akhirnya PDRM dan UKM FC berada dalam senarai pasukan yang melengkapkan proses penswastaan.

“Ini juga menjadi sejarah kepada proses penswastaan kelab bola sepak di negara apabila kesemua pasukan dan kelab berjaya melengkapkan proses berkenaan sebelum tarikh akhir 30 September ditetapkan FAM sebelum ini,” katanya yang juga Exco FAM kepada Sinar Harian semalam.

Menurutnya, pujian juga harus diberikan kepada semua pasukan dan kelab yang komited dan bersungguh-sungguh dalam membantu serta memberikan kerjasama kepada FAM melicinkan proses ini walaupun pada mulanya berdepan pelbagai cabaran.

“Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Bola Sepak Profesional FAM, saya juga berterima kasih kepada Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang sentiasa memberi motivasi kepada jawatankuasa yang baru berusia setahun jagung ini dalam menyelesaikan tugasan penting sebegini.

“Terima kasih juga kakitangan jawatankuasa yang berkorban tenaga dan berhempas pulas siang dan malam dalam membantu memastikan kesemua pasukan dan kelab Liga-M ini dapat melengkapkan proses penswastaan ini,” katanya.

Pada 23 September lalu, FAM memberikan surat peringatan terakhir kepada PDRM, UKM FC dan UiTM FC - tiga pasukan yang masih dalam peringkat awal proses penswastaan untuk menyegerakan urusan dokumentasi masing-masing.

Artikel Berkaitan: