Kecoh nak jadi Ketua Menteri

Hajiji Noor ketika mengadakan sidang media di Pejabat Ketua Menteri di PPNS semalam. - Foto Bernama
Hajiji Noor ketika mengadakan sidang media di Pejabat Ketua Menteri di PPNS semalam. - Foto Bernama
A
A
A

AKHIRNYA Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor angkat sumpah jadi Ketua Menteri (KM) yang baharu.

Berakhirlah kemelut tarik tali antara orang UMNO dan BN lawan orang Bersatu. Tan Sri Perdana Menteri tentu suka hati orangnya terajui Sabah sekarang.

Sebelum ini, macam dalam wayang Tamil, kecoh siapa nak jadi KM. Datuk Seri Bung Mokhtar Radin, calon UMNO dan BN pun mahukan jawatan itu.

Pada waktu sama, kita dengar khabar ada Ahli Dewan Undangan Negeri daripada PBS dan Bebas yang nak lompat ke sebelah Warisan Plus. Jikalau itu berlaku, Warisan Plus ada majoriti dan Datuk Seri Shafie Afdal akan jadi KM.

Awang dan rakyat Malaysia yang lain cuma tengok dari jauh permainan orang politik kita. Nampaknya macam pertarungan hidup mati bagi sesetengah pihak. Kesian juga Shafie, kempen “Sabah untuk Orang Sabah” yang dibawakannya tak berjaya walaupun kesan awalnya begitu besar.

Bagi Awang, asal jangan ada lompat-melompat parti sudahlah. Awang rasa Shafie patut bangga bahawa dia bertarung macam gentleman, kata orang putih. Kalah menang adat perlawanan.

Bagi Awang, yang penting dia tak jadi KM kerana dapat sokongan katak politik. Dia patut rasa besar hati kerana realiti itu.

Doa PM setiap setengah jam

Artikel Berkaitan:

Awang memang kagum dengan Tan Sri Perdana Menteri. Kita semua tahu beliau bukan calang-calang orang dalam bab agama.

Ayahanda beliau pun guru agama yang dihormati di Johor. Bagi Tan Sri Perdana Menteri, soal doa dan bacaan memang lancar macam air.

Cuma Awang rasa doa Tan Sri Perdana Menteri yang diperdengarkan baik di radio atau ditayang di TV itu patutlah dikurang-kurangkan.

Takkanlah setiap kali selepas warta berita dan azan solat, doa itu muncul. Awang rasa setiap setengah jam doa itu terdengar di corong radio milik RTM.

Bukanlah Awang tak setuju kandungan doa itu, malah Awang sokong penuh. Tan Sri Perdana Menteri minta dijauhkan daripada musibah Covid-19, mohon daripada ALLAH agar rakyat dilndungi dan bagi yang menghidapnya segera sembuh.

Bukanlah salah Tan Sri Perdana Menteri dalam soal ini. Tentulah beliau ada pengawal dan perancang media hebat yang bagi nasihat.

Tapi dalam apa keadaan pun, apabila sesuatu dibuat secara berlebihan, akan ada kesan negatifnya. Badan penyiar kerajaan patut tahu, di mana yang kesannya berlebihan dan yang mana berkurang.

Maklumlah, Tan Sri Perdana Menteri orang politik. Apa pun yang dibuat oleh orang politik dilihat sebagai tindakan politik untuk kepentingan politik.

Awang teringat kata orang tua-tua, berpada-padalah buat sesuatu. Mungkin niat kita baik, tapi kalau dah terlampau, kesannya jadi kurang.

Wallahua’lam.