Kijang Hijau belum putus harapan

Nazrulerwan Makmor. Foto: Kelantan United Football Club
Nazrulerwan Makmor. Foto: Kelantan United Football Club
A
A
A

PENGENDALI Kelantan United FC, Nazrulerwan Makmor, masih berhajat untuk membawa skuad Kijang Hijau menempah slot ke saingan TM Piala Malaysia musim ini walaupun berdepan sedikit keresahan dengan kemerosotan prestasi kelab itu.

Tambah memeritkan, Kelantan United terpaksa berkunjung ke Stadium Bandaraya pada Jumaat ini berdepan dengan pendahulu Liga Premier, Pulau Pinang yang masih kebal dengan rekod tanpa kalah.

Namun, Nazrulerwan menegaskan tiada apa yang mustahil dalam bola sepak dan berharap menjadikan aksi dengan Pulau Pinang sebagai titik kebangkitan Kelantan United yang telah tewas lima kali berturut-turut sejak Liga Malaysia kembali bersambung pada 28 Ogos lalu.

“Kami cuba mencari enam mata maksimum jika mahu mendapatkan slot ke Piala Malaysia kerana berdasarkan kedudukan sekarang, kami ketinggalan satu mata di belakang Negeri Sembilan yang memegang slot terakhir.

“Cuma saya sedar realiti selepas ini iaitu bertemu Pulau Pinang yang fokusnya kini mahu mendapatkan kejuaraan Liga Premier, pasti akan memberikan banyak kesukaran buat kami jika mengharapkan kemenangan bagi membuka laluan ke Piala Malaysia.

“Saya tetap mahukan pemain untuk cuba sehabis baik dalam baki perlawanan yang ada dan yang paling penting, kurangkan kesilapan-kesilapan kecil yang tidak sepatutnya kerana perkara itu sering kali membunuh peluang kami untuk mendapatkan mata penuh seperti mana kita tewas kepada Sarawak United, ” katanya dalam satu kenyataan yang dipetik dari Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Nazrulerwan yang dilantik ketua jurulatih baharu Kelantan United pada 17 September lalu bagi menggantikan Zahasmi Ismail, masih gagal menghadiahkan sebarang mata apabila tewas dua perlawanan sebelum ini iaitu 2-3 kepada Terengganu FC II dan 1-2 di tangan Sarawak United FC.

Selepas aksi berdepan Pulau Pinang, Kelantan United FC yang kini berada di tangga kesembilan selepas memungut sembilan mata, bakal bertemu Selangor 2 pada perlawanan terakhir Liga Premier yang dijadualkan 9 Oktober.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa sama, Nazrulerwan yang merupakan bekas ketua jurulatih pasukan Liga M3, KL Rovers mengakui banyak cabaran buat dirinya dalam memperbaiki kelemahan pasukan di pertengahan Liga Premier.

Justeru, beliau telah mengambil pendekatan memberikan peluang kepada pemain untuk turun beraksi dalam dua perlawanan lalu dan kini beliau sudah menemui jawapan siapa yang akan berada dalam kesebelasan utama.

“Saya lihat masalah ketara semasa saya datang ialah pemain tidak bermain sebagai satu pasukan selain sikap pemain di atas padang, kedua-dua aspek ini perlu diubah jika mahu melihat Kelantan United bangkit.

“Perkara ini saya tekankan sejak saya melatih pasukan ini dan secara perlahan-lahan, saya sudah nampak perubahan positif dalam kalangan pemain.

“Untuk aksi akan datang, saya mungkin akan menurunkan ramai pemain muda yang nampak ada kesungguhan selepas apa yang saya perhatikan dalam dua perlawanan lepas,“ katanya.