Mahkamah tolak permohonan JAIS untuk kemuka rayuan

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Pihak pendakwaan syariah Selangor tidak dapat meneruskan kes terhadap Pengarah ZI Publications Sdn Bhd, Mohd Ezra Mohd Zain di Mahkamah Syariah berhubung buku Irshad Manji yang dianggap bertentangan dengan hukum Syarak.

Ini berikutan selepas Mahkamah Persekutuan menolak kebenaran untuk merayu yang dikemukakan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan empat yang lain terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang telah membatalkan keputusan ketua pendakwa syarie Selangor untuk mendakwa Mohd Ezra di Mahkamah Syariah kerana menerbit, mengedar dan memiliki buku terjemahan penulis kontroversi, Irshad Manji.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zaleha Yusof memerintahkan JAIS, ketua pengarahnya, ketua pegawai penguat kuasa JAIS, ketua pendakwa syarie Selangor dan kerajaan negeri Selangor membayar kos RM10,000 kepada Mohd Ezra dan ZI Publications.

"Ini keputusan sebulat suara. Kami minta maaf Puan Fatimah (Penolong Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor, Siti Fatimah Talib) kami tidak menyebelahi anda, kami menyokong Encik Fahri (peguam Fahri Azzat mewakili Mohd Ezra).

"Permohonan ditolak dengan kos dibayar kepada responden pertama (ZI Publications) dan responden kedua (Mohd Ezra)," kata Hakim Zaleha, yang mengetuai panel itu bersidang bersama Hakim, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Harmindar Singh Dhaliwal.

Perayu memohon kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 25 September tahun lepas yang keputusannya memihak kepada Mohd Ezra, 37.

Dalam membenarkan rayuan Mohd Ezra, Mahkamah Rayuan turut mengeluarkan perintah certiorari untuk membatalkan tangkapan serta pendakwaan oleh ketua pendakwa syarie Selangor, selain kos dan ganti rugi kerana tekanan jiwa, penderitaan dan penyeksaan akibat tindakan salah JAIS terhadapnya.

Pada 29 Mei 2012, JAIS menyerbu pejabat ZI Publications dan merampas 180 buku yang bertajuk ‘Allah, Kebebasan dan Cinta’ oleh penulis warga Kanada, Irshad Manji. Mohd Ezra turut ditahan.

Artikel Berkaitan:

Secara kebetulan, perintah larangan Kementerian Dalam Negeri bagi versi asal bahasa Inggeris dan terjemahan bahasa Malaysia hanya diwartakan pada hari yang sama.

ZI Publications dan Mohd Ezra kemudiannya memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk mencabar serbuan yang dilakukan oleh JAIS dan pada 7 Mac 2018 Mahkamah Tinggi menolak permohonan mereka dan mereka kemudian membawa perkara itu ke Mahkamah Rayuan.

Mohd Ezra juga didakwa di Mahkamah Rendah Syariah pada tahun 2013 dan beliau mengaku tidak bersalah atas tuduhan alternatif menerbitkan, mengedar dan memiliki buku tersebut.

Terdahulu, Siti Fatimah berhujah bahawa Mohd Ezra menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 16 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995, yang menyatakan bahawa mana-mana orang adalah melakukan kesalahan kerana memiliki, menerbitkan atau mencetak apa-apa buku atau dokumen yang mengandungi apa-apa yang bertentangan dengan Hukum Syarak.

"Enakmen Jenayah Syariah ini tidak mentafsirkan bagaimana syarikat (ZI Publications) itu boleh dipertuduhkan. Walaupun peruntukan Seksyen 16 tidak menyebut definisi 'orang', maka (Seksyen 3) Akta Tafsiran boleh diguna pakai untuk mendakwa syarikat (ZI Publication) di bawah Enakmen ini yang seksyen ini (Seksyen 3) membolehkan sebuah syarikat menjadi ‘individu’," katanya yang dibantu Pegawai Undang-Undang Selangor, Muhammad Haziq Hashim.

Seksyen 2 Akta Tafsiran menyatakan bahawa ‘orang’ termasuk individu, korporat atau tidak diperbadankan.

Fahri berhujah persoalan undang-undang yang telah dikemukakan pada dasarnya berkaitan dua isu, sama ada sebuah syarikat boleh didakwa di Mahkamah Syariah dan sama ada seorang pengarah boleh dipertanggungjawabkan secara peribadi atas kesalahan syariah yang kononnya dilakukan oleh sebuah syarikat.

“Tidak ada kontroversi mengenai persoalan ini dan ia sebenarnya berpunca daripada salah faham, iaitu undang-undang syariah ini terpakai kepada siapa. Jadi kami telah katakan pada awalnya, semua persoalan ini telah ditangani dan dijawab dalam kes Mahkamah Persekutuan sebelum ini,” katanya.

Peguam itu juga menegaskan bahawa Seksyen 1 (2) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995 menyatakan bahawa enakmen ini hanya terpakai kepada orang Islam sahaja.

“Jadi ia bukan sekadar ‘orang’, ia terpakai kepada ‘orang’ yang menganut agama Islam,” katanya lagi.

Mohd Ezra, ketika ditemui pemberita berkata beliau gembira... hakim telah menyokong keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan.

“Jadi saya harap dapat membawa keputusan hari ini atau keputusan Mahkamah Rayuan ke Mahkamah Syariah Selangor dan berharap semua pertuduhan digugurkan. Hari ini adalah hari yang terbaik bagi saya selepas lapan tahun,” katanya sambil menambah sebutan kesnya di Mahkamah Syariah ditetapkan pada 5 November.- Bernama