X

Kindly register in order to view this article
!

Joe Biden tolak jalani ujian dadah seperti diminta Trump

Sesi debat pertama selama 90 minit antara Biden (kiri) dan Trump itu yang berlangsung di Cleveland, Ohio akan turut menampilkan Chris Wallace dari Fox News sebagai moderator. - Foto Agensi
A
A

WASHINGTON - Calon parti Demokrat, Joe Biden dengan selamba menolak permintaan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk menjalani ujian dadah menjelang debat pertama mereka kira-kira lima minggu sebelum Pilihan Raya Presiden AS 2020 berlangsung.

Bekas Naib Presiden itu turut tertawa sinis ketika dimaklumkan tentang permintaan Trump berikutan beliau sekali lagi menuduh tanpa bukti pesaingnya itu mengambil ubat peningkatan prestasi.

Sejak beberapa minggu lalu, bilionair hartanah mewakili parti Republikan terbabit berterusan melemparkan tuduhan tidak berasas ke atas Biden, 77, susulan prestasi memberangsangkan beliau ketika pemilihan utama Demokrat.

“Saya mahu Biden menjalani ujian dadah sebelum dan selepas sesi debat itu. Saya juga akan melakukan perkara sama,” kata Trump, 74, menerusi Twitter akhir minggu lalu.

Presiden ke-45 AS itu juga menuduh anak lelaki Biden terlibat rasuah dan membuat spekulasi mengenai dasar Demokrat yang didakwa tidak wujud.

"Demokrat akan memusnahkan impian Amerika.

"Mereka akan musnahkan hak anda untuk memiliki senjata api dan menghapuskan kawalan sempadan negara ini dan memberikan hak jagaan kesihatan kepada golongan pendatang haram," ujarnya menerusi kenyataan untuk meraih sokongan kira-kira lima minggu menjelang pemilihan tersebut.

Difahamkan, sesi debat pertama selama 90 minit itu yang berlangsung di Cleveland, Ohio pada hari ini akan turut menampilkan Chris Wallace dari Fox News sebagai moderator.

Ia akan disusuli dengan debat antara Timbalan Presiden, Mike Pence dan Senator California, Kamala Harris yang menjadi pasangan regu Biden pada bulan depan. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!