Covid-19: Laporan ketidakpatuhan SOP PRN Sabah lagi dua minggu

Dr Noor Hisham. - Foto Bernama
Dr Noor Hisham. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memerlukan tempoh dua minggu bagi mendapatkan laporan sama ada wujud ketidakpatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) semasa kempen Pilihan Raya Negeri Sabah.

Bagaimanapun Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan berhubung perkara itu.

"Walaupun ada kempen, kita telah menjalankan aktiviti pencegahan dengan melaksanakan 98 sekatan jalan raya dan kawalan sempadan serta aktiviti kesihatan awam," katanya.

Menurutnya, melihat kepada Pilihanraya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini dan Slim sebelum ini, tiada kluster dilaporkan.

"Ini membuktikan mereka patuh kepada SOP. Kita akan tahu laporan lengkap PRN Sabah untuk tempoh dua minggu lagi," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, selepas laporan itu diperoleh, KKM dan agensi terlibat boleh melakukan penambahbaikan termasuk cara berkempen dan kepatuhan SOP.

"Sekarang isunya ketidakpatuhan. SOP sudah ada dan kepatuhan untuk semua bukan sahaja kepada mereka yang berkempen tetapi termasuk masyarakat dan petugas kesihatan," katanya.

Sabah merekodkan kes aktif melebihi 1,000 yang bermula dengan dua kes indeks dalam Operasi Benteng dan kemudian ditempatkan di lokap Polis Lahad Datu dan Penjara Tawau.

Artikel Berkaitan:

Angka positif Covid-19 terus meningkat ketika parti-parti di negeri itu sedang rancak berkempen untuk memenangi PRN Sabah.

Beberapa pemimpin politik turut dijangkiti Covid-19 dan banyak kluster baharu dikenalpasti daripada individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah.

Sementara itu, ditanya mengenai kekuatan petugas kesihatan di negeri itu, Dr Noor Hisham berkata, pihaknya menghantar beberapa pegawai dan petugas kesihatan dari Semenanjung ke negeri itu bagi membantu di lapangan.

"Esok pula kita akan hantar pakar daripada pelbagai bidang ke hospital di Sabah," katanya.

Menurutnya, selain petugas kesihatan, KKM turut menghantar peralatan seperti pakaian perlindungan diri (PPE) dan mesin bantuan pernafasan dengan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).