X

Kindly register in order to view this article
!

Singapura catat 27 kes baharu Covid-19, sembilan kes import

Singapura dalam pengesahan awal melaporkan tambahan 27 kes jangkitan baharu koronavirus (Covid-19) dalam tempoh 24 jam lepas dengan sembilan kes import. Foto 123RF
A
A

SINGAPURA - Singapura dalam pengesahan awal melaporkan tambahan 27 kes jangkitan baharu koronavirus (Covid-19) dalam tempoh 24 jam lepas dengan sembilan kes import.

Menurut Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura dalam data ringkas yang dikeluarkan di sini hari ini semua kes import itu diserahkan Notis Duduk Di Rumah sebaik tiba di republik itu.

Sementara itu, kementerian tersebut berkata, terdapat satu kes dalam komuniti melibatkan pemegang pas kerja.

Dengan perkembangan baharu itu, jumlah keseluruhan kes di republik itu mencecah 57,742 kes.

Menurut kementerian itu, ia masih meneliti perincian kes dan kemas kini lanjut akan dikeluarkan malam ini.

Dalam data lengkap yang dikeluarkan lewat malam tadi, MOH berkata, dua kes komuniti dilaporkan semalam melibatkan rakyat Malaysia, kedua-duanya pemegang pas kerja dan berusia 26 tahun.

Menurut MOH, Kes 57847 yang bekerja di Lapangan Terbang Changi telah diuji sebagai sebahagian daripada pemeriksaan proaktif pekerja dalam perkhidmatan penting yang tinggal di luar asrama.

Sementara itu Kes 57,861, telah dikenal pasti sebagai kontak isi rumah Kes 57,847.

Setakat 28 September terdapat 887 kes melibatkan pemegang pas jangka panjang dan pas kerja di sini dan dikategorikan di bawah kes komuniti.

Setakat ini, MOH telah mengklasifikasikan 1,052 kes yang dilaporkan sebagai kes import; 2,247 kes komuniti dan 54,416 melibatkan penghuni asrama.

Seramai 57,393 kes telah pulih sepenuhnya dan didiscaj dari hospital atau dirawat di kemudahan komuniti.

Menurut kementerian itu 36 kes yang disahkan masih dirawat di hospital dan tiada yang ditempatkan di unit rawatan rapi.

Sementara itu, 259 pesakit yang mempunyai gejala ringan atau sihat secara klinikal tetapi diuji positif bagi Covid-19 telah diasingkan dan dirawat di kemudahan komuniti.

Setakat ini, 27 orang meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 di republik itu dengan dua kematian pertama dalam satu hari dilaporkan pada 21 Mac.

Tiada kluster baharu dikenal pasti semalam, tiga kluster ditutup iaitu Changi Lodge II; serta dua asrama iaitu 35 Kian Teck Way; dan 66 Tech Park Crescent. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!