Covid-19: Jangkitan di Indonesia kini 282,724 kes

Pemerintah Indonesia kini menjadikan hotel di Jakarta sebagai tempat kuarantin dan merawat pesakit Covid-19 berikutan peningkatan drastik jangkitan serta hospital di provinsi itu dilaporkan mula mencapai kapasiti penuh. Foto 123RF
Pemerintah Indonesia kini menjadikan hotel di Jakarta sebagai tempat kuarantin dan merawat pesakit Covid-19 berikutan peningkatan drastik jangkitan serta hospital di provinsi itu dilaporkan mula mencapai kapasiti penuh. Foto 123RF
A
A
A

JAKARTA - Pemerintah Indonesia kini menjadikan hotel di Jakarta sebagai tempat kuarantin dan merawat pesakit koronavirus (Covid-19) berikutan peningkatan drastik jangkitan serta hospital di provinsi itu dilaporkan mula mencapai kapasiti penuh.

Ketua Bidang Kesihatan Masyarakat, Provinsi Jakarta, Fify Mulyani dalam siaran di YouTube rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia berkata, dua hotel iaitu Ibis Style di Mangga Dua, Jakarta Utara dan U Stay Hotel di Mangga Besar, Jakarta Barat telah dijadikan tempat kuarantin dan rawatan kepada pesakit Covid-19 bermula semalam.

Tanpa menyatakan jumlah pesakit yang sedang dirawat, beliau berkata, kedua-dua hotel itu boleh menampung 212 (Hotel Ibis) dan 140 pesakit (Hotel U Stay).

Sementara itu Ketua Persatuan Hotel dan Restoran Indonesia, Krisnadi dalam kenyataan berkata, 30 hotel di Jakarta telah dikenal pasti untuk dijadikan hospital sementara bagi merawat dan tempat kuarantin pesakit Covid-19.

Pada 14 September lepas, Gabenor Jakarta Anies Baswedan menyatakan 67 hospital di Jakarta berada di tahap lebih 70 peratus penggunaan peralatan, katil serta kemudahan perubatan berikutan trend kes positif baharu di Jakarta secara puratanya hampir 1,000 kes setiap hari sejak akhir Ogos lepas.

Berdasarkan data yang disiarkan BNPB dalam laman Twitter rasminya @BNPB_Indonesia hari ini, sebanyak 1,238 kes positif baharu dilaporkan di Provinsi Jakarta dalam tempoh 24 jam lepas.

Provinsi Jakarta mencatatkan jumlah kes keseluruhan tertinggi di republik Indonesia iaitu 72,577 kes, dengan kematian keseluruhan 1,716 orang.

Berdasarkan data BNPB, Indonesia hari ini mencatatkan 4,002 jangkitan baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah kes keseluruhan di republik itu kini 282,724 kes.

Artikel Berkaitan:

Sebanyak 132,496 lagi pesakit masih dalam pemantauan virus berkenaan di seluruh Indonesia.

Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini juga, 128 lagi kematian berlaku menjadikan jumlah kematian kumulatif di republik itu kini 10,601 orang. - Bernama