Polis siasat video tular lelaki diugut, diacu pistol

Tular video lelaki berkenaan menunjukkan pistol untuk mengugut.
Tular video lelaki berkenaan menunjukkan pistol untuk mengugut.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor mengambil makluman susulan penularan satu rakaman video yang memaparkan tindakan seorang lelaki melakukan peras ugut dengan menunjukkan pistol, di sini, baru-baru ini.

Lelaki berkenaan juga secara berani telah mengaku mempunyai kaitan dengan seorang pegawai polis yang bertugas di salah sebuah ibu pejabat polis daerah di negeri ini.

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, satu siasatan penuh akan dijalankan memastikan tindakan tegas dapat diambil kepada pelakunya.

"Polis Johor maklum mengenai perkara ini yang mana telah mencemarkan imej dan nama baik polis sendiri. Siasatan menyeluruh akan dilakukan.

"Tindakan undang-undang juga akan diambil jika terdapat sebarang salah guna kuasa melibatkan sebarang pegawai kanan atau pegawai polis Kontinjen Johor," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Justeru, beliau berkata, sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung perkara itu dapat terus melaporkannya kepada pihak polis.

"Kita mohon jasa baik orang ramai, sesiapa yang mempunyai maklumat boleh salurkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Menerusi video berdurasi 2.32 minit itu telah memaparkan kelakuan mengugut suspek terhadap seorang lelaki di sebuah tempat letak kereta yang lokasinya masih belum diketahui.

Artikel Berkaitan:

Daripada perbualan yang dirakamkan, lelaki berkenaan dilihat berang selepas individu yang diugut itu tidak mahu membayar wang.