Beberapa pemain baharu dalam perhatian Arul

Arul Selvaraj
Arul Selvaraj
A
A
A

BEBERAPA pemain baharu yang menunjukkan kualiti skuad kebangsaan pada kejohanan Piala Tun Abdul Razak baru-baru ini akan dipanggil mengikuti kem latihan skuad Malaysian Tigers.

Ketua jurulatih Malaysian Tigers, Arul Selvaraj dijangka mengumumkan skuad latihannya pada Khamis untuk latihan fasa seterusnya dari 5 Oktober hingga hujung tahun ini, sebelum tersenarai dalam kelompok pemain kebangsaan bagi mengharungi Liga Hoki Malaysia 2021.

“Beberapa pemain baharu berusia 21 tahun ke atas yang belum pernah berada dalam pasukan kebangsaan sangat mengagumkan.

“Saya akan menamakan skuad besar, skuad percubaan untuk memantau pencapaian mereka dengan nama-nama besar dalam skuad kebangsaan. Daripada situ kita akan analisis bagaimana untuk mereka terus berada dengan pasukan negara,” kata Arul tanpa menamakan pemain berkenaan.

Sementara itu, penyerang Terengganu, Faizal Saari yang meledakkan 18 gol bagi membantu pasukan pantai timur Semenanjung itu menduduki tempat kedua pada Piala Tun Abdul Razak yang diadakan pada 18 hingga 26 September berkemungkinan akan kembali menyarung jersi kebangsaan.

“Faizal telah melakukan dengan baik, beliau menjaringkan 18 gol dalam enam perlawanan, puratanya tiga gol bagi setiap perlawanan. Beliau menunjukkan aksi dan sikap yang baik di dalam dan luar padang,” kata Arul.

Faizal, adiknya Fitri, Mohamad Sukri Abdul Mutalib dan Joel Van Huizen antara pemain yang digugurkan oleh bekas ketua jurulatih, Roelant Oltmans pada Februari.

Sebelum ini bekas penyerang kebangsaan, Faizal, 29, memberitahu bahawa beliau bersedia memberikan komitmen 100 peratus sekiranya dipanggil menyertai skuad kebangsaan sekali lagi. -Bernama

Artikel Berkaitan: