Cuepacs kecewa KKM hanya sambung kontrak pegawai

Cuepacs kecewa keputusan KKM yang hanya menyambung kontrak 2,070 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi selama enam bulan berbanding melantik secara tetap.
Cuepacs kecewa keputusan KKM yang hanya menyambung kontrak 2,070 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi selama enam bulan berbanding melantik secara tetap.
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) kecewa dengan keputusan Kementerian Kesihatan (KKM) yang hanya menyambung kontrak 2,070 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi selama enam bulan berbanding melantik secara tetap.

Presidennya, Adnan Mat berkata, KKM tiada alasan untuk tidak melantik mereka secara tetap memandangkan kerajaan sudah meluluskan 10,560 waran perjawatan.

Menurutnya, tindakan menyambung kontrak secara 'one off' itu tidak adil kepada mereka kerana jawatan sudah diwujudkan dan sememangnya mempunyai keperluan mendesak untuk diisi.

"Cuepacs terkejut dan terkilan kerana petugas kesihatan ini tidak dilantik secara tetap memandangkan KKM menerima kelulusan 10,675 perjawatan baharu oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum ini.

"Bagaimanapun, pengumuman dibuat KKM semalam yang hanya menyambung kontrak perkhidmatan untuk tempoh enam bulan lagi amat mendukacitakan Cuepacs dan semua petugas kesihatan berstatus kontrak kerana seolah-olah pengorbanan mereka selama ini tidak dihargai oleh kerajaan.

"Sewajarnya keutamaan diberikan kepada petugas kesihatan berstatus kontrak untuk mengisi kekosongan perjawatan sedia ada memandangkan pengalaman mereka yang sudah bertugas di lapangan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, KKM digesa melantik semua petugas kesihatan yang berstatus kontrak terutama yang bertugas di barisan hadapan ke jawatan tetap.

Adnan berkata, daripada 10,675 perjawatan baharu yang diluluskan JPA, kerajaan menyerahkan 385 waran perjawatan bagi pengoperasian Hospital Rembau, Negeri Sembilan pada 2 Disember 2019 (fasa pertama).

Artikel Berkaitan:

"Yang terbaru adalah pada 10 September 2020 (fasa kedua) apabila kerajaan menyerahkan 5,203 perjawatan baharu bagi digunakan untuk fasiliti kesihatan yang siap sehingga Jun lalu membabitkan 54 fasiliti kesihatan sedia ada dan baharu di seluruh negara.

"Baki sebanyak 5,087 jawatan pula akan diserahkan kepada KKM pada fasa seterusnya apabila fasiliti kesihatan siap dan bersedia beroperasi sepenuhnya.

"Sewajarnya keutamaan diberikan kepada petugas kesihatan berstatus kontrak untuk mengisi kekosongan perjawatan sedia ada memandangkan pengalaman mereka yang sudah bertugas di lapangan," katanya.

Menurutnya, pemberian lantikan tetap juga dapat memberi motivasi kepada perkhidmatan cemerlang mereka dalam usaha membanteras penularan wabak Covid-19 sebelum ini.

"Apatah lagi ketika ini kes Covid-19 masih lagi meningkat dan keperluan terhadap pengalaman sedia ada mampu membantu memudahkan usaha mengekang penularan wabak.

"Cuepacs tidak mahu motivasi kerja petugas kesihatan yang dilantik secara kontrak ini terjejas di kala negara masih memerlukan khidmat bakti mereka," katanya.

Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba memaklumkan, kontrak perkhidmatan seramai 2,070 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi KKM disambung secara 'one-off' untuk tempoh enam bulan lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Kontrak 2,070 MO, pergigian dan farmasi dilanjutkan