Empat cadangan banteras pasaran rokok gelap di Malaysia

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia tidak lagi boleh menutup mata terhadap kehilangan hasil negara sebanyak RM300 bilion kesan daripada ekonomi gelap ketika masa hadapan ekonomi negara kekal suram, kata Advokasi Jenama Runcit dan Dagang Malaysia (RTBA Malaysia).

Ulasan daripada RTBA Malaysia itu adalah susulan daripada tindakan Bank Pembangunan Asia (ADB) baru-baru ini yang menurunkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia kepada negatif 5 peratus pada tahun 2020 daripada negatif 4 peratus sebelum ini.

Menurut kenyataan itu, ADB melaporkan ekonomi Malaysia akan terus terjejas susulan kesan besar akibat pandemik koronavirus (Covid-19) terhadap penggunaan, eksports dan pelaburan.

"Dalam usaha melindungi perniagaan, pekerjaan dan kehidupan, RTBA Malaysia mengemukakan empat cadangan kepada kerajaan bagi membanteras pasaran gelap rokok yang mengakibatkan negara kehilangan RM5 bilion setahun dari segi hasil cukai dan membentuk bahagian yang cukup besar daripada ekonomi gelap sebanyak RM300 bilion," kata kenyataan itu hari ini.

Pertama, menambah pembiayaan kepada agensi penguatkuasaan berkaitan bagi merekrut lebih ramai anggota, melakukan latihan kemahiran dan menyediakan perkakasan lebih canggih bagi meningkatkan prestasi dan keselamatan mereka.

Kedua, mengkaji semula mekanisme harga dan struktur cukai yang boleh menangani perbezaan besar harga antara produk sah dengan seludup, oleh itu menghapuskan dorongan kepada penjenayah pasaran gelap.

Ketiga, mewujudkan pembiayaan bagi pasukan petugas pelbagai agensi dan pelbagai negara bagi memerangi dagangan pasaran gelap rokok, masalah yang telah merebak ke negara-negara jiran.

Keempat, mewujudkan dana anti pasaran gelap bagi mengalakkan orang ramai menyampaikan maklumat (whistle-blower). Dana ini juga boleh diguna bagi menambah baik proses melapor dari segi masa tindak balas dan kualiti tindakan.

Artikel Berkaitan:

Pengarah Urusan RTBA Malaysia, Datuk Fazli Nordin
Pengarah Urusan RTBA Malaysia, Datuk Fazli Nordin

Sementara itu, Pengarah Urusan RTBA Malaysia, Datuk Fazli Nordin berkata, pasaran gelap rokok memiliki kesan gandaan negatif terhadap ekonomi negara kerana ia juga membiayai jenayah, menyemarakkan rasuah dan menjejaskan agenda kesihatan negara.

Kata beliau, keadaan dijangka bertambah buruk kerana menurut laporan Japan Tobacco International (JTI) yang dikeluarkan baru-baru ini, krisis Covid-19 telah mencetuskan keadaan di mana kumpulan jenayah terancang akan mengeksploit permintaan terhadap barangan murah dan mengaut keuntungan daripada kuasa membeli yang berkurangan terutama di negara yang mempunyai rejim cukai yang tinggi.

“Masalah ini adalah berat dan telah berakar umbi. Penyelesaian tidak boleh secara selangkah demi selangkah seperti biasa. Ia hendaklah bersifat menyeluruh dan pelbagai serampang mata, membanteras pasaran gelap rokok daripada segi permintaan dan juga bekalan,” katanya.