Suami, isteri kantoi sorok dadah dalam kereta

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kedegilan sepasang suami isteri yang enggan membuka pintu kereta dinaiki terjawab selepas polis menemui sepeket dadah jenis syabu disorokkan di dalam kenderaan itu, di Kuala Ibai, di sini, pagi semalam.

Dalam rondaan kira-kira jam 11.30 pagi itu, anggota bertugas terserempak dengan sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang diparkir di jalan berhampiran Restoran Makanan Segera, Kuala Ibai, di sini.

Menurut sumber, kenderaan itu dilihat dalam keadaan mencurigakan dan anggota polis yang bertugas sempena Ops Tapis Narkotik bertindak menghampiri kereta tersebut bagi membuat pemeriksaan.

"Kemudian, anggota mengarahkan pemandu kereta (suami, 25) membuka pintu kereta tetapi suspek enggan memberi kerjasama meskipun diberi amaran sebanyak tiga kali.

"Setelah suspek tidak mahu memberi kerjasama, anggota bertugas terpaksa mengambil tindakan untuk memecahkan cermin hadapan kereta.

"Bagaimanapun, tidak lama kemudian, kedua-dua pintu iaitu pintu penumpang hadapan dibuka suspek lelaki manakala pintu pemandu hadapan dibuka suspek wanita, 29," katanya ketika dihubungi.

Sumber berkata, seterusnya pemeriksaan di dalam kereta milik pasangan itu dijalankan sebelum menjumpai satu peket plastik lut sinar berisi serbuk yang disyaki dadah yang disorokkan di dalam ruangan simpanan barang di bahagian tengah kereta itu.

Kesemua barangan dirampas dan pasangan itu di bawa ke Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu untuk siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, hari ini, pasangan berkenaan dibenarkan direman selama tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika disabitkan kesalahan.

Perintah reman dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Kuala Terengganu, Noradila Ab Latif.