X

Kindly register in order to view this article
!

Cukai pendapatan Trump jadi isu sebelum debat Presiden AS mula

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump kini menghadapi isu beliau hanya membayar cukai pendapatan sebanyak AS$750 (RM3,126.38) pada tahun 2016 dan 2017. - Foto AFP
A
A

WASHINGTON - Menjelang debat pertama Presiden Amerika Syarikat (AS) ke atas pencabarnya Joe Biden, Presiden AS, Donald Trump berada dalam keadaan 'kelam-kabut' selepas laporan menunjukkan beliau pernah mengelak untuk membayar hampir kesemua cukai persekutuannya selama bertahun-tahun.

Laporan berita eksklusif daripada New York Times melaporkan Trump membayar cukai pendapatan hanya AS$750 (RM3,126.38) pada tahun 2016 dan 2017 dan tidak membuat pembayaran untuk 10 daripada 15 tahun cukai itu sebelum ini satu kejutan untuk seseorang yang menggambarkan dirinya sebagai bilionair.

Bagaimanapun, Trump yang menggambarkan dirinya sebagai seorang ahli perniagaan 'keras kepala' dalam misi menghapuskan 'fitnah' itu kemudian menafikan laporan berita tersebut yang menurut akhbar itu ia adalah berdasarkan kepada pemeriksaan terhadap data cukai rahsianya dan bagi tempoh yang panjang.

"Media berita palsu sama seperti pilihan raya tahun 2016, ia mengemukakan cukai saya dan semua perkara yang tidak munasabah dengan maklumat diperoleh secara tidak sah," kata Trump menerusi Twitter.

ARTIKEL BERKAITAN: Trump hanya bayar cukai pendapatan persekutuan RM1,313

Beberapa tinjauan pendapat pada Ahad lalu sekali lagi menunjukkan Biden berada di depan dengan Trump mewakili parti Republikan dan akan menghadirkan diri dalam perdebatan di Cleveland pada hari ini sekali gus dipercayai bakal bertindak lebih kepada mempertahankan dirinya.

Satu tinjauan pendapat Washington Post/ABC meletakkan Biden 10 mata di hadapan Trump di peringkat kebangsaan, masing-masing menerima sokongan sebanyak 53 dan 43 peratus dalam kalangan pengundi berdaftar.

Calon Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden daripada parti Demokrat tidak menghadapi isu cukai pendapatan yang kontroversi. - Foto AFP
Calon Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden daripada parti Demokrat tidak menghadapi isu cukai pendapatan yang kontroversi. - Foto AFP

Sementara itu, satu lagi tinjauan pendapat NBC News-Marist memberikan keputusan hampir sama, masing-masing menerima sebanyak 54 dan 44 peratus di negeri yang pengundinya mengubah sokongan iaitu Wisconsin kerana sebelum ini Trump memperoleh kemenangan pada tahun 2016.

Pencabar Trump itu kini menyasarkan cara presiden AS berkenaan mengendalikan kes pandemik koronavirus (Covid-19) dan tindakan tergesa-gesa bagi mengisi jawatan hakim Mahkmah Agung yang kosong akibat kematian Ruth Bader Ginsburg.

Bagaimanapun, laporan cukai itu mengancam teras identiti politik Trump iaitu kemampuan yang dimegah-megahkannya untuk menghubungkannya dengan para pengundi kolar biru.

Walaupun kesan terhadap pengundi masih tidak jelas, laporan akhbar New York Times itu memberikan Biden satu peluru yang baharu.

Pengendali kempen parti Demokrat itu kemudian melepaskan 'tembakan' dengan menerbitkan satu iklan yang membandingkan bayaran cukai pendapatan oleh rakyat biasa Amerika sebanyak AS$10,216 (RM42,544.53) untuk seorang jururawat dan bayaran dibuat Trump sebanyak AS$750 dilunaskan pada tahun dia memegang jawatan presiden AS.

Laporan berita itu mencetuskan keraguan baharu iaitu sama ada Trump benar-benar lelaki dengan sentuhan seperti Raja Midas dan terkenal dalam mitos Greek apabila beliau menukarkan apa sahaja yang disentuhnya kepada emas.

Beliau ialah presiden pertama dalam tempoh bertahun-tahun tidak mendedahkan data cukainya dengan mendakwa beliau tidak boleh melakukannya kerana ia masih lagi diaudit.

Dalam gaya identitinya yang terburu-buru, beliau juga pernah bercakap besar bahawa berjaya 'mengelak' daripada cukai 'menjadikan dirinya bijak'.

Pada Isnin lalu, beliau menyatakan menerusi Twitter, "Saya membayar berjuta-juta wang dalam bentuk cukai tetapi berhak seperti orang lain untuk susut nilai dan cukai kredit."

Bagaimanapun, menurut New York Times, data cukai Trump menunjukkan beliau berjaya mengelak cukai berskala besar sebahagiannya disebabkan Trump sepatutnya menjadi seorang ahli perniagaan yang berjaya terutamanya dalam perniagaan golf tetapi mengalami kerugian wang yang banyak.

Akhbar itu menyatakan Trump memperoleh pulangan cukai sebanyak AS$72.9 juta (RM 303.59 juta) berdasarkan kepada maklumat pengauditan secara rasmi.

Beliau juga turut mengambil pengurangan cukai untuk kediaman, pesawat dan gaya rambut untuk penampilan di televisyen sebanyak AS$70,000 (RM291,515).

Maklumat data cukainya yang mencetuskan konflik kepentingan serius, lapor akhbar New York Times itu ialah pinjaman dan hutang sebanyak AS$421 juta (RM1.7 bilion) yang dijamin secara peribadi oleh Trump.

Seorang bekas calon presiden mewakili parti Demokrat yang juga bilionair, Tom Steyer menyatakan menerusi Twitter bahawa pada tahun 2017, beliau membayar cukai persekutuan sebanyak AS$32 juta (RM133.26 juta).

Katanya, Trump ialah seorang penipu dan 'busuk' dalam perniagaan. Pada November ini, dia akan pergi dari Rumah Putih menuju ke tandas, malah tanpa berita cukai yang terbaharu, debat pada hari ini dijangka menjadi satu 'pertarungan yang ganas'.

Trump diketahui telah memburuk-burukkan keadaan mental saingannya, "(Biden) tidak tahu bahawa beliau masih hidup."

Menjelang perdebatan itu, Trump mengesyorkan supaya kedua-dua mereka mengambil satu ujian dadah.

"Joe Biden baru mengumumkan bahawa beliau tidak akan bersetuju dengan satu ujian dadah. Gee, saya tertanya-tanya kenapa?" soal Tump menerusi akaun Twitternya.

Ketika ditanya pemberita tentang tuntutan Trump itu pada minggu lalu, Biden ketawa sebelum enggan memberikan komen.

Timbalan pengurus kempennya, Kate Bedingfield berkata, Bekas Naib Presiden, Biden berhasrat untuk menyampaikan debatnya melalui ucapan jika presiden berpendapat kes terbaiknya adalah dihasilkan daripada urin. - AFP


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!