Pegawai kanan tentera didakwa pikat isteri orang

Tertuduh didakwa dengan niat jenayah memikat seorang wanita telah bersuami berusia 44 tahun sehingga wanita itu melakukan persetubuhan dengannya.
Tertuduh didakwa dengan niat jenayah memikat seorang wanita telah bersuami berusia 44 tahun sehingga wanita itu melakukan persetubuhan dengannya.
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang pegawai kanan tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan memikat isteri orang empat tahun lalu.

Azmi Ali, 45, menukar pengakuannya kepada tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan semula di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

Mengikut pertuduhan, Azmi didakwa dengan niat jenayah memikat seorang wanita telah bersuami berusia 44 tahun sehingga wanita itu melakukan persetubuhan dengannya.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 2 November depan sebagai sebutan semula kes.

Pada 22 September lalu, bapa kepada dua anak itu mengaku bersalah di mahkamah yang sama dan selepas menerima pengakuan tertuduh, mahkamah menetapkan hari ini untuk jatuh hukum, namun tertuduh menukar pengakuannya.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Zubaidah Mahat manakala tertuduh diwakili peguam Azman Zakaria.

Artikel Berkaitan: