MB Selangor, isteri jalani kuarantin di rumah

Amirudin berkongsi statusnya bebas Covid-19 di media sosial Facebooknya hari ini.
Amirudin berkongsi statusnya bebas Covid-19 di media sosial Facebooknya hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan isteri mengambil langkah meneruskan kuarantin di rumah walaupun disahkan bebas koronavirus (Covid-19).

Amirudin menerusi kenyataan di Facebooknya hari ini berkata, langkah itu diambil bagi mengelak risiko jangkitan selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, sepanjang tempoh kuarantin itu pihaknya meneruskan tugas menerusi mesyuarat secara dalam talian.

"Alhamdulillah saya dan isteri bebas Covid-19, namun untuk elak risiko dan mematuhi SOP, saya akan meneruskan kuarantin dan mengadakan mesyuarat secara dalam talian.

"Program melibatkan orang ramai (public) juga saya telah wakilkan kepada YB (Yang Berhormat) Exco yang lain," katanya memetik kenyataan di Facebooknya hari ini.

Amirudin berkata, pihaknya akan menjalani saringan sekali lagi bagi memastikan dirinya benar-benar bebas Covid-19.

Katanya, beliau turut melahirkan ucapan terima kasih atas doa dan sokongan daripada semua.

"Semoga kita dipelihara dan dilindungi daripada wabak ini, Insya-ALLAH," tulisnya.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Amirudin berkongsi status menjalani swab test seterusnya memakai gelang merah jambu sebaik pulang membantu partinya berkempen di Sabah.