Terkejut jumpa bom depan rumah

Bom mortar yang ditemui seorang warga emas di halaman rumahnya di Permatang Berangan, Tasek Gelugor petang semalam.
Bom mortar yang ditemui seorang warga emas di halaman rumahnya di Permatang Berangan, Tasek Gelugor petang semalam.
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang warga emas terkejut apabila terjumpa satu objek yang disyaki bom lama di halaman depan rumahnya di Permatang Berangan, Tasek Gelugor di sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, wanita berusia 60-an itu menemui objek tersebut ketika sedang meninjau halaman rumahnya pada jam 5 petang semalam.

Menurutnya, ketika ditemui, separuh objek tersebut tertanam dalam tanah yang mana separuh lagi terdedah selepas terkena air hujan.

"Wanita berkenaan bertindak mengorek objek tersebut dan terkejut apabila ia menyerupai bom lama. Bimbang perkara tidak diingini berlaku, wanita tersebut menghubungi anaknya yang bekerja sebagai operator kilang.

"Susulan itu, anaknya membuat laporan polis untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, daripada keterangan lelaki itu, mereka sekeluarga telah menyewa rumah berkenaan sejak enam tahun lalu.

"Menurut lelaki itu, keadaan sekeliling rumah adalah seperti biasa iaitu sama seperti mula mereka menyewa. Tiada sebarang penambahan tanah atau batu di kawasan rumah kampung itu.

"Jarak antara rumah tidak terlalu dekat antara satu sama lain dan ia tidak berpagar selain tiada kamera litar tertutup (CCTV)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, sejurus menerima laporan itu, polis terus ke rumah lelaki tersebut untuk memastikan objek berkenaan adalah bom lama seperti yang dilaporkan.

"Daripada penelitian, memang benar ada objek tertanam di halaman hadapan rumah dan ia bukan ditanam oleh mana-mana individu. Objek berbentuk bulat dan tirus di bahagian hujung itu disahkan sebagai bom mortar lama berukuran 14 sentimeter (sm) panjang dan 7 sm lebar.

"Bom itu diselaputi tanah dan dalam keadaan sudah lama tertanam di situ. Oleh itu, sepasukan dari Unit Pemusnah Bom (UPB) diarahkan ke lokasi untuk memeriksa bom tersebut pada jam 8.15 malam," katanya.

Noorzainy berkata, anggota UPB mengesahkan bahawa objek tersebut jenis bom shell 20 milimeter (mm) yang digunakan pada perang dunia kedua.

"Bom itu diambil dengan cara selamat dan dibawa ke persenjataan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) untuk tindakan selanjutnya bersama polis Bukit Aman. Tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku.

"Bom akan dimusnahkan hari ini di tempat yang selamat dan jauh daripada orang ramai," katanya.