PBB gesa gencatan senjata antara Azerbaijan, Armenia

PBB menyuarakan kebimbangan berhubung pertempuran di sepanjang garisan sempadan di zon konflik, Nagorno-Karabakh.
PBB menyuarakan kebimbangan berhubung pertempuran di sepanjang garisan sempadan di zon konflik, Nagorno-Karabakh.
A
A
A

NEW YORK - Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres pada Isnin menyeru pemimpin Azerbaijan dan Armenia mengambil langkah segera untuk mengadakan gencatan senjata, lapor agensi berita Xinhua.

"Setiausaha Agung hari ini bercakap dengan Ilham Aliyev, Presiden Azerbaijan dan Nikol Pashinyan, Perdana Menteri Armenia," menurut kenyataan media dikeluarkan jurucakap ketua PBB, Stephane Dujarric.

"Beliau menyuarakan kebimbangan berhubung pertempuran di sepanjang garisan sempadan di zon konflik, Nagorno-Karabakh. Beliau mendesak kedua-dua pemimpin mengambil langkah segera untuk mengadakan gencatan senjata dan memulakan rundingan bagi mengelak ketidakstabilan di wilayah itu," katanya.

"Setiausaha Agung turut mengulangi sokongan penuhnya kepada peranan penting Pertubuhan Kerjasama Dan Keselamatan Eropah (OSCE), pengerusi bersama kumpulan Minsk, sambil menekankan perlunya pihak bertelagah bekerjasama dengan mereka untuk kembali kepada rundingan," katanya.

Tentera Armenia dan Azerbaijan dilaporkan masih bertempur di zon konflik itu, walaupun terdapat gesaan daripada masyarakat antarabangsa agar ia ditamatkan.

Pertikaian antara Armenia dan Azerbaijan di wilayah pergunungan Nagorno - Karabakh tercetus sejak 1988. Rundingan damai diadakan sejak 1994 dan ketika itu gencatan senjata dicapai, namun adakalanya berlaku pertembungan kecil di sepanjang sempadan itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: