Zii Jia perhebat persiapan ke Olimpik Tokyo

Lee Zii Jia - Foto FB BAM
Lee Zii Jia - Foto FB BAM
A
A
A

PEMBATALAN beberapa kejohanan badminton antarabangsa tahun ini susulan pandemik Covid-19 memberi peluang terbaik kepada pemain perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia untuk memantapkan persediaannya sebelum menyertai Sukan Olimpik Tokyo tahun depan.

Pemain berusia 22 tahun itu memaklumkan, beliau sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan belakang yang dialami ketika menyertai Kejohanan Jemputan Persatuan Badminton Malaysia di Akademi Badminton Malaysia (ABM), pada Ogos lepas dan kembali menjalani latihan seperti biasa sejak awal bulan ini.

Beliau mengakui pembatalan beberapa kejohanan antarabangsa termasuk Piala Thomas akibat pandemik itu memberi tekanan mental kepada barisan pemain negara yang memerlukan lebih banyak kejohanan bagi mengekalkan prestasi masing-masing.

“Ini kali pertama saya merasai pengalaman sebegini (ketiadaan kejohanan dalam tempoh panjang). Setakat ini, masih ok tetapi sejujurnya saya bosan sebab tiada kejohanan, ini sedikit sebanyak menjejaskan mental pemain,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan skuad negara di ABM, Bukit Kiara semalam.

“Saya akan berbincang dengan barisan kejurulatihan mengenai perancangan selepas ini dalam tempoh terdekat, sama ada memperbanyakkan aktiviti di luar sebelum kembali ke gelanggang,” kata pemain kelahiran Kedah itu.

Pencapaian terbaik Zii Jia pada musim ini adalah mara ke separuh akhir Kejuaraan Badminton Masters Malaysia di Arena Axiata, Bukit Jalil pada Januari lalu.

Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF) sebelum ini membuat keputusan menangguhkan saingan Piala Thomas dan Uber yang sepatutnya berlangsung di Aarhus, Denmark dari 3 hingga 11 Oktober ini ke tahun depan susulan Covid-19.

Sukan Olimpik 2020 yang dijadual berlangsung dari 24 Julai hingga 9 Ogos turut ditunda kepada 23 Julai hingga 8 Ogos, 2021 akibat pandemik tersebut.

Artikel Berkaitan: