Covid-19: Masjid, premis dan tadika di Jerantut ditutup 14 hari

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Jerantut memutuskan untuk mengambil langkah-langkah proaktif bagi mencegah penularan dan memutuskan rantaian kes jangkitan koronavirus ( Covid-19) di daerah itu.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Jerantut memutuskan untuk mengambil langkah-langkah proaktif bagi mencegah penularan dan memutuskan rantaian kes jangkitan koronavirus ( Covid-19) di daerah itu.
A
A
A

KUANTAN- Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Jerantut memutuskan untuk mengambil langkah-langkah proaktif bagi mencegah penularan dan memutuskan rantaian kes jangkitan koronavirus ( Covid-19) di daerah itu.

Tindakan itu diambil berikutan pengesanan empat kes positif baharu di daerah tersebut pada 25 dan 27 September lalu.

Berdasarkan notis makluman yang dikeluarkan, langkah-langkah yang diambil antaranya penangguhan aktiviti dan penutupan premis dikenal pasti selama 14 hari.

Ia termasuk penangguhan aktiviti pekan sehari dan pasar malam, majlis keramaian, kenduri-kendara serta program berskala besar.

Bagi kes kontak rapat kepada kes positif yang hadir ke sekolah sebelum pengesanan dibuat, kelas-kelas terlibat juga akan ditutup untuk tempoh itu.

"Arahan penutupan turut melibatkan Masjid Tengku Ahmad Jerantut (MTAJ) dan Surau Al-Muflihin Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Peringkat 3 dan 4," katanya.

Melalui notis itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Jerantut turut memaklumkan, semua tadika dan taska di kawasan PAKR Bandar Baru Jerantut dan PAKR Peringkat 3 dan 4 juga ditutup.

Selain itu, semua premis makanan bermasak di dua kawasan PAKR itu hanya boleh menjual makanan secara bungkus.

Artikel Berkaitan:

Semua pusat riadah dan rekreasi di lokasi yang tidak dapat menjamin penjarakkan fizikal di sekitar Jerantut tidak dibenarkan beroperasi selama 14 hari termasuk Padang FA, Bukit Seladang, Bukit Panau, Bukit Merah, Via-Feratta Paya Gunung dan Taman Tasik Teratai.

Turut ditangguh Taklimat Pelaksanaan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 kepada pembanci yang dijadualkan pada 1 hingga 5 Oktober ini.

Justeru, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Jerantut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan agar berhubung terus dengan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) melalui talian 09-2661641(10 pagi hingga 5 petang).

Bagi mendapatkan maklumat lanjut khusus berkaitan situasi semasa Covid-19 di daerah itu, orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan Pejabat Kesihatan Daerah di talian 09-2662744 (8 pagi hingga 5 petang)

PKOB dan bilik gerakan itu dibuka setiap hari termasuk pada hari minggu dan cuti kelepasan am.

"Orang awam diingatkan untuk tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau palsu bagi mengelak panik masyarakat.

"Penyebaran maklumat palsu satu kesalahan dan boleh didakwa di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 (Akta 588)," menurut notis itu.