X

Kindly register in order to view this article
!

PKPDB: KWSP tutup sementara cawangan Lahad Datu, Tawau

KWSP
A
A

KUALA LUMPUR - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menutup sementara pejabat dan kaunter di Lahad Datu dan Tawau, Sabah mulai 29 September 2020 sehingga tarikh yang akan diberitahu kelak.

Ini berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) di empat kawasan dalam negeri Sabah iaitu Lahad Datu, Tawau, Kunak, dan Semporna, demikian menurut kenyataan KWSP hari ini.

Sehubungan itu, semua permohonan Janji Temu Online (JTO) membabitkan cawangan Lahad Datu dan Tawau akan dibatalkan serta-merta dan mereka terbabit perlu membuat semula janji temu tersebut selepas PKPDB ditamatkan.

"Ahli dan majikan masih boleh menggunakan perkhidmatan dalam talian KWSP iaitu iAkaun (Ahli) dan i-Akaun (Majikan) yang beroperasi seperti biasa. Pembayaran caruman juga masih boleh dibuat melalui perbankan internet atau ejen bank berdaftar di kaunter," kata kenyataan itu.

Selain itu, KWSP juga menyarankan supaya ahli dan majikan mendapatkan maklumat daripada saluran rasmi KWSP termasuk menghubungi Pusat Pengurusan Pelanggan di talian 03- 8922 6000.

"Dalam tempoh mencabar ini, KWSP komited untuk terus memberi perkhidmatan kepada ahli di cawangan atau menerusi saluran digital. Kesihatan dan keselamatan ahli serta anggota KWSP tetap menjadi keutamaan dan segala kesulitan amatlah dikesali," katanya. -Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!