Kehadiran Xi bukti komitmen China

Presiden China Xi Jinping berucap pada pertemuan peringkat tertinggi untuk memperingati ulang tahun ke-75 PBB, melalui sidang video pada 21 September lalu. (Xinhua/Ju Peng).
Presiden China Xi Jinping berucap pada pertemuan peringkat tertinggi untuk memperingati ulang tahun ke-75 PBB, melalui sidang video pada 21 September lalu. (Xinhua/Ju Peng).
A
A
A

TAHUN ini menandakan ulang tahun ke-75 penubuhan badan dunia dianggotai 193 negara itu, yang berkembang daripada 51 negara anggota termasuk China pada akhir Perang Dunia II. Ketika ini, dunia berada pada titik baharu dalam sejarah umat manusia dan pelbagai usaha harus dilipatgandakan demi “menyelamatkan generasi berikutnya” sebagaimana bersemadi dalam Piagam PBB.

Multilateralisme dalam bahaya

Piagam PBB telah “membawa aturan dan harapan ke dunia yang dilanda kehancuran,” kata Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres sempena memperingati ulang tahun organisasi tersebut. Piagam ini ditandatangani ketika para pemimpin dunia merasakan perlunya satu mekanisme yang dapat membantu membawa perdamaian dan menghentikan perang pada masa depan, yang mungkin tercapai apabila semua negara bekerjasama melalui satu organisasi global.

Namun, sejak beberapa dekad kebelakangan ini menyaksikan proses globalisasi dan integrasi, dunia kini berhadapan perpecahan yang semakin luas sebagai tindak balas terhadap risiko dan cabaran besar akibat bangkitnya kembali unilateralisme, proteksionisme, penarikan diri daripada perjanjian dan amalan membuli dalam ketenteraan dan ekonomi.

Pandemik Covid-19 yang belum pernah terjadi sebelumnya telah menyebabkan hampir 1 juta kematian di seluruh dunia dan melumpuhkan ekonomi global, memberi peringatan kepada dunia yang dilanda kekacauan serupa pada 1945.

“Pada tahun 1945, perang yang paling destruktif dalam sejarah manusia baru saja berakhir dengan pengakuan umum bahawa umat manusia jangan sekali-kali membiarkan kehancuran seperti itu berlaku disebabkan konflik dan penaklukan nasional. Hanya badan multinasional yang dapat memberikan harapan dan jaminan itu.

“Selalu ada perbezaan di antara negara. Jalan terbaik adalah mencari cara bagaimana mengembangkan peluang kolektif sambil mengendalikan potensi konflik melalui hubungan secara berterusan,” kata Robert Lawrence Kuhn, Pengerusi Yayasan Kuhn yang berpusat di Los Angeles dan New York.

Dengan memberi amaran mengenai bahayanya hubungan antarabangsa pada era komunikasi global segera dan kepesatan media sosial dewasa ini, Kuhn mencadangkan geopolitik global memerlukan organisasi multinasional dan hubungan dua hala yang kuat di antara negara-negara.

Artikel Berkaitan:

“PBB tidak boleh menjadi jawapan untuk semua hal, namun badan ini perlu menjadi sebahagian daripada jawapannya,” ujarnya.

Foto yang diambil pada 14 September menunjukkan pemandangan luar ibu pejabat PBB di New York, Amerika Syarikat. (Xinhua/Wang Ying)
Foto yang diambil pada 14 September menunjukkan pemandangan luar ibu pejabat PBB di New York, Amerika Syarikat. (Xinhua/Wang Ying)

Kesedaran global

Sebagai anggota pengasas PBB dan anggota tetap Majlis Keselamatan, China telah menyatakan komitmennya terhadap tujuan dan prinsip Piagam PBB termasuk mendukung badan tersebut dalam menangani ancaman global serta usahanya mewujudkan keamanan dan pembangunan.

Mengenai kedudukannya sempena ulang tahun ke-75 PBB, China sekali lagi menegaskan komitmennya untuk melindungi sistem tadbir urus global berteraskan PBB, norma-norma asas hubungan antarabangsa yang disokong oleh tujuan dan prinsip Piagam PBB, kewibawaan dan kedudukan PBB serta peranan utama PBB dalam urusan antarabangsa.

Suara China bergema di kalangan rakan-rakannya di seluruh dunia.

Dalam pertemuan dengan Canselor Jerman, Angela Merkel; Presiden Majlis Eropah, Charles Michel dan Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen melalui pautan video pada 14 September lalu, Presiden Xi mencapai kata sepakat dengan para pemimpin EU untuk melindungi multilateralisme dan bersama-sama menangani cabaran global.

Merkel, Michel dan von der Leyen mengatakan bahawa sangat mustahak bagi Eropah dan China untuk memperkuat kerjasama, bersama-sama melindungi multilateralisme dan menentang unilateralisme dan proteksionisme.

Mengulas mengenai hasil pertemuan itu, Ketua Editor Majalah Nouvelle Solidarite Perancis, Christine Bierre yang juga pakar di Institut Schiller Perancis, mengatakan para pemimpin telah menghantar isyarat positif untuk menjaga keamanan, kestabilan dan kemakmuran dunia, yang menunjukkan sepenuhnya bahawa kerjasama multilateral adalah arus zaman.

Dalam memenuhi tanggungjawabnya, China sentiasa memastikan tindakan-tindakan yang dilaksanakannya selaras dengan percakapan.

Beijing telah secara aktif menyelaraskan tujuan dan rancangannya dengan Agenda 2030 bagi Pembangunan Mampan dan telah mencapai hasil luar biasa dalam pelbagai bidang seperti pembasmian kemiskinan dan pengurusan iklim.

Selain itu, China juga mendukung badan global tersebut melalui pelbagai inisiatif dan langkah, antaranya mendaftarkan pasukan tunggu sedia berkekuatan 8,000 orang dan pasukan tetap dengan kekuatan 300 orang untuk misi pengaman PBB.

China membantu negara-negara membangun lain dengan 180 projek pengurangan kemiskinan, sepertimana yang diumumkan Presiden negara itu pada Sidang Kemuncak 2015 bagi memperingati ulang tahun ke-70 penubuhan organisasi berkenaan.

“China akan memikul tanggungjawab dan terus memainkan peranan dalam usaha sama ini,” kata Xi Jinping di ibu pejabat PBB lima tahun lalu.

“Kami harus memperbaharui komitmen kami untuk tujuan dan prinsip Piagam PBB, membina hubungan antarabangsa jenis baharu yang menampilkan kerjasama saling menguntungkan dan mewujudkan komuniti berkongsi nasib sesama insan," kata beliau.

Harapan untuk masa depan

“Harapan saya adalah terciptanya keamanan dan keadilan.” Demikian salah satu daripada 250,000 suara yang dirakam di seluruh dunia dalam inisiatif dialog global PBB, yang dilancarkan untuk mengumpulkan harapan, ketakutan dan gagasan dari serata dunia.

Ini adalah sebahagian daripada peristiwa menyambut sesi ke-75 Perhimpunan Agung PBB (UNGA) yang membawa tema “Masa Hadapan yang Kita Inginkan, PBB yang Kita Perlukan: Ikrar Komitmen Kolektif Kita demi Multilateralisme”.

Bendera Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkibar di luar ibu pejabat PBB di New York, Amerika Syarikat. (Xinhua/Wang Ying)
Bendera Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkibar di luar ibu pejabat PBB di New York, Amerika Syarikat. (Xinhua/Wang Ying)

Para pemimpin dunia diharapkan untuk bersama-sama menyelesaikan pelbagai isu meliputi kesihatan awam global, kesaksamaan penuh, tindakan iklim dan lain-lain, sebagaimana 75 tahun lalu ketika negara penandatangan Piagam PBB berjanji:

“Untuk menyelamatkan generasi akan datang dari bencana perang, yang telah terjadi dua kali dalam hidup kita dan mendatangkan dukacita yang begitu mendalam bagi umat manusia dan untuk menegaskan lagi kepercayaan terhadap hak asasi manusia, mempromosikan kemajuan sosial dan taraf hidup yang lebih baik dalam kebebasan yang lebih luas.”

Presiden sesi ke-74 UNGA, Tijjani Muhammad-Bande pada 14 September lalu mengatakan, perkara paling penting adalah terus menggarisbawahi pentingnya kolaborasi, iaitu yang diperlukan usaha multilateral.”

"Inilah jaminannya, bukan sekadar perdamaian, tetapi juga kemakmuran yang merupakan matlamat terpenting PBB sejak awal lagi,” jelasnya kepada Xinhua dalam satu wawancara.

Seperti yang dikatakan oleh Presiden Xi dalam ucapannya pada 2015, tujuan perdamaian, pembangunan, kesaksamaan, keadilan, demokrasi dan kebebasan “masih jauh untuk dicapai.” Namun demikian, harapan terletak pada tindak balas kolektif dunia.

Pada malam abad ke-21, untuk mendorong warga dunia menghadapi cabaran alaf baharu, mantan Setiausaha Agung PBB, Kofi Annan mendesak semua Negara supaya berdiri berdampingan.

“Lebih daripada sebelumnya dalam sejarah umat manusia, kita kini mempunyai takdir yang sama. Kita mampu menguasainya jika menghadapinya bersama. Rakan-rakan sekalian, itulah alasan kita mempunyai PBB,” tegasnya. - XINHUA