Penubuhan sekolah antarabangsa: Sarawak tidak langgar undang-undang

Michael Manyin Jawong
Michael Manyin Jawong
A
A
A

KUCHING - Penubuhan Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak adalah tidak melanggar mana-mana peruntukan perundangan di Malaysia, kata Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Datuk Seri Michael Manyin Jawong.

Beliau berkata, kementeriannya telah mengkaji undang-undang berkaitan selain melakukan libat urus secara meluas dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mematuhi semua syarat dalam setiap proses penubuhan sekolah-sekolah berkenaan.

"Saya ingin menyatakan bahawa Sarawak adalah sebuah negeri yang patuh undang-undang dan kami memberi lebih perhatian untuk memastikan setiap inisiatif dan program yang kami jalankan tidak bertentangan dengan undang-undang Malaysia," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sabtu lepas, Felo Utama Institut Kajian Etnik (Kita) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong dipetik menerusi sebuah portal berita sebagai berkata, rancangan Sarawak untuk membina lima sekolah antarabangsa milik kerajaan negeri itu adalah bertentangan dengan peruntukan Akta Pendidikan 1996.

Menurut Kok Seong, bidang pendidikan berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan membenarkan sekolah antarabangsa milik kerajaan negeri adalah bertentangan dengan Akta Pendidikan yang mewajibkan semua sekolah kerajaan menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Manyin bagaimanapun berkata, Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak yang dicadangkan, bukanlah sekolah kerajaan seperti yang diperuntukkan di bawah akta berkenaan, tetapi ia akan menjadi sekolah swasta kerana akan dimiliki dan dikendalikan oleh syarikat, seperti kebanyakan sekolah antarabangsa swasta lain di negara ini.

Katanya, sekolah yang akan ditubuhkan dimiliki dan dikendalikan oleh Sanjung Services Sdn Bhd, sebuah syarikat swasta yang berdaftar di bawah Akta Syarikat 2006 dan anak syarikat Yayasan Sarawak.

"Oleh itu, kenyataan Profesor Teo yang berkaitan dengan syarat di bawah Akta Pendidikan 1996 tidak terpakai untuk sekolah-sekolah ini," katanya sambil menambah bahawa projek itu hanya berjalan setelah syarikat berkenaan mendapat surat sokongan KPM yang menyatakan bahawa ia telah memenuhi semua syarat yang ditetapkan oleh kementerian.

Artikel Berkaitan:

Katanya, projek sekolah berkenaan bertujuan membantu keluarga berpendapatan rendah di negeri ini yang mempunyai anak yang cemerlang untuk memperoleh pendidikan antarabangsa yang berkualiti serta melatih mereka menjadi pemimpin yang berkebolehan pada masa hadapan.

Pembinaan lima sekolah antarabangsa akan dilaksanakan secara berperingkat dengan majlis pecah tanah bagi sekolah yang pertama di Batu 12 (KM 19), Jalan Kuching-Serian berlangsung baru-baru ini dan dijangka beroperasi pada 2022. - Bernama