X

Kindly register in order to view this article
!

Khairulnizam mula uji sampel pakaian pelayaran khas

Pengarah Pusat Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mustaza Ahmad (dua, kanan) menyerahkan sampel pakaian pelayaran kepada pelayar negara, Khairulnizam Mohd Affendy (dua, kiri) di Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan, hari ini. - Foto Bernama
A
A

PELAYAR negara, Khairulnizam Mohd Affendy bakal menggunakan pakaian pelayaran yang dibangunkan khas untuk beliau oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Fitech Asia pada penampilan ketiga Sukan Olimpik Tokyo tahun depan.

Pengarah Pusat Sukan UiTM, Mustaza Ahmad berkata, pakaian pelayaran khas itu dibangunkan selepas mengambil kira ia merupakan antara elemen yang sangat penting bagi memastikan atlet dapat memberi prestasi terbaik semasa pertandingan.

“Teknologi merupakan elemen yang sangat penting dalam kita nak melahirkan atlet cemerlang, melihat kepada keperluan itu UiTM telah menjalin kerjasama dengan Fitech Asia, menghasilkan pakaian pelayaran khas buat Khairulnizam yang bakal digunakan semasa Sukan Olimpik Tokyo nanti.

“Pakaian pelayaran ini juga telah menjalani uji kaji di Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan dan Makmal Fakulti Sains Gunaan UiTM. Kita akan hasilkan 10 sampel sehingga Khairulnizam dapat pakaian pelayaran terbaik dan selesa untuk digunakan apabila turun di medan pertandingan nanti,” katanya selepas penyerahan sampel pertama pakaian itu di Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan di Langkawi hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Fitech Asia, Syed Aldrin Syed Ahmad Kabeer dan jurulatih pelayaran negara, Mohd Affendy Abdullah.

Sementara itu, Syed Aldrin berkata, pakaian pelayaran yang direka menggunakan teknologi tempatan dan luar negara itu dibangunkan selepas mengambil kira pelbagai faktor semasa pertandingan nanti.

“Perbincangan untuk membangunkan pakaian pelayaran ini bermula sejak akhir 2019. Bahan yang digunakan ialah poly lycra fabric, pakaian ini direka selepas mengambil kira tekanan pada paras laut, suhu, kelembapan, semasa pertandingan nanti,” katanya.

Bagi Khairulnizam, beliau mengakui penggunaan pakaian pelayaran khas banyak membantu prestasi atlet semasa pertandingan.

“Kilang menghasilkan produk dalam kuantiti besar setiap atlet pula memiliki saiz badan berbeza. Atlet ada kelebihan apabila pakaian pelayaran dibuat secara tempah khas kerana beri kelebihan dari segi keselesaan, pakaian tidak boleh terlalu ketat kerana tidak bagus untuk otot, malah pergerakan pasti terganggu.

“Inisiatif oleh UiTM dan Fitech Asia ini sangat baik untuk memaksimumkan prestasi atlet. Ketika ini pakaian pelayaran ini dihasilkan khas untuk saya, namun sekiranya berjaya mungkin boleh dipasarkan di dalam dan luar negara pada masa depan,” katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!