Selesaikan sebelum tengah malam esok

Stuart Ramalingam
Stuart Ramalingam
A
A
A

SETIAP pasukan Liga Malaysia (Liga-M) sekali lagi diingatkan agar menyelesaikan segala urusan dokumentasi berhubung proses pelesenan dan penswastaan selewat-lewatnya pada pukul 11.59 malam esok.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, tiada lagi tambahan masa akan diberikan kepada mana-mana pasukan bagi tujuan berkenaan kerana pihaknya telah memberikan tempoh lanjutan selama 15 hari mulai 15 September lalu.

“Sebelum ini pihak FAM telah pun melanjutkan tarikh akhir bagi proses pelesenan sehingga 30 September bagi memudahkan urusan pasukan-pasukan terbabit seperti permohonan daripada Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan(PKPD) di negeri itu.

“Bagaimanapun, tarikh 30 September ini (esok) adalah penamatnya. Ia juga adalah tarikh akhir bagi urusan proses penswastaan kelab melibatkan pertukaran status daripada persatuan bola sepak (FA) kepada kelab bola sepak (FC).

“Ingin saya ingatkan bahawa tarikh akhir itu juga adalah tarikh akhir bagi kesemua pasukan (FA) yang belum selesaikan proses pelesenan, bukan hanya KFA,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Pada masa sama, Stuart berkata, setakat ini pihaknya belum memutuskan tindakan terhadap mana-mana pasukan yang masih gagal menyelesaikan proses pelesenan mahupun penswastaan kelab pada tarikh akhir yang telah ditetapkan itu.

Menurutnya, sebarang keputusan hanya akan diumumkan setelah kesemua dokumen bagi proses pelesenan dan penswastaan disemak oleh pihak Jawatankuasa Khas Pelesenan Kelab Profesional FAM.

“Buat masa ini kita tidak dapat memberikan komen berhubung perkara itu kerana kesemua dokumen (pelesenan dan penswastaan) akan dibuka dan disemak oleh jawatankuasa yang terlibat terlebih dulu,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: