Penswastaan kelab: Tunggu keputusan FAM jika ada pasukan gagal

PJ City FC antara 12 pasukan Liga-M yang telah menyelesaikan proses penswastaan. -Foto FB PJ City FC
PJ City FC antara 12 pasukan Liga-M yang telah menyelesaikan proses penswastaan. -Foto FB PJ City FC
A
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) hanya menunggu keputusan yang akan diumumkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sekiranya ada pasukan gagal menyelesaikan proses penswastaan kelab yang bakal berakhir esok.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, pihanya akan melakukan perancangan lain bagi saingan liga musim depan jika ada pasukan yang tidak lulus proses penswastaan apabila mendapat keputusan daripada FAM nanti.

“Kita tunggu keputusan daripada FAM dan selepas itu barulah kita akan buat perancangan seterusnya. Buat masa ini, kita tidak ada perancangan lagi sebab nanti kecillah hati pasukan dan nampak macam kita telah ada perancangan sekiranya mereka gagal.

“Bagi saya sendiri, saya yakin mereka semua akan berjaya melengkapkan proses penswastaan ini pada minit-minit akhir. Lagi pun, setiap pasukan tahu bagaimana untuk menyelesaikan proses tersebut dalam masa yang berbaki dua hari ini,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Minggu lalu, FAM mengumumkan 12 pasukan sudah berjaya melengkapkan proses penswastaan iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Sarawak United FC, PJ City FC, Armed Forces FC, Negeri Sembilan, Kelantan United FC, Melaka, Terengganu FC, Kuching FA, Sabah, Kuala Lumpur dan Perak.

Enam pasukan lain masih dalam proses untuk melengkapkan penswastaan iaitu tiga pasukan - Selangor, Kelantan dan Felda United FC yang sudah dalam peringkat akhir manakala tiga pasukan - Pahang, Pulau Pinang dan Kedah dalam peringkat pertengahan.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Bola Sepak Profesional FAM, Mohd Firdaus Mohamed turut memaklumkan bahawa tiga lagi pasukan - PDRM, UiTM FC dan UKM FC pula berada dalam peringkat awal proses penswastaan masing-masing.

Jika ada yang gagal melengkapkan proses penswastaan, pasukan berkenaan berkemungkinan turun ke saingan amatur - Liga M3 musim depan, sekali gus terdapat pengurangan pasukan yang akan bertanding dalam Liga Super dan Liga Premier.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Ab Ghani turut memaklumkan saingan Liga Malaysia (Liga-M) tidak akan terjejas walaupun kerajaan telah mengarahkan kuarantin dilakukan bagi mana-mana individu yang pulang dari Sabah mulai kelmarin.

“Setakat ini tiada masalah sebab kalau ikutkan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu kuarantin adalah selama tiga hari sementara menunggu keputusan calitan. Jika negatif tiada masalah, itu yang saya faham.

“Begitu juga melibatkan perlawanan Melaka United menentang Sabah semalam (kelmarin) dan mereka (Melaka) perlu kuarantin selama tiga hari sementara menunggu keputusan. Perkara sama juga apabila pasukan Sabah akan ke Johor dalam perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) Jumaat ini.

“Kalau ada kes positif (membabitkan pasukan Melaka dan Sabah) kita akan buat keputusan kemudian. Tapi kita berdoa harap tiada apa yang berlaku kerana setiap pasukan mengamalkan SOP yang ketat,” jelasnya.