X

Kindly register in order to view this article
!

Khidmat pengawal bekas tentera

A
A

CADANGAN Kementerian Sumber Manusia untuk mengambil pesara tentera bagi mengisi kekosongan perkhidmatan kawalan keselamatan di Malaysia sangat baik dan amatlah dialu-alukan. Difahamkam, perbincangan dengan Kementerian Pertahanan akan dibuat bagi memperincikan langkah seterusnya.

Ia juga bagi menjenamakan semula tugas dan peranan perkhidmatan kawalan keselamatan dengan menggunakan khidmat pesara tentera, lantas mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, selain mengatasi isu pengawal keselamatan tidak terlatih.

Paling penting, pengambilan pesara tentera dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka. Pada peringkat usia 40-an, pesara tentera yang masih cergas merupakan sumber tenaga kerja yang produktif. Sekurang-kurangnya mereka boleh diambil bekerja sebagai pengawal keselamatan untuk tempoh tiga hingga lima tahun.

Secara amnya, individu yang menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai anggota biasa akan didaftarkan selama 12 tahun dan dibenarkan menyambung perkhidmatan selama tiga tahun berturut-turut sehingga 26 tahun. Bagaimanapun, tempoh berkhidmat selama 21 tahun sudah melayakkan anggota berpangkat biasa untuk menerima pencen. Ketika ini, gaji permulaan anggota berpangkat Prebet adalah sebanyak RM1,564 dan sekiranya dia bersara dengan pangkat Sarjan selepas 21 tahun berkhidmat, anggaran gaji akhirnya kira-kira RM6,000.

Bagi kumpulan pegawai pula, mereka akan memilih untuk berhenti atau bersara mengikut tempoh tertentu berdasarkan pangkat yang disandang dengan jangka masa maksimum sehingga 40 tahun. Sebab itu, pihak ATM menerusi Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) menyediakan latihan peralihan kepada bakal pesara dan anggota yang ingin menamatkan perkhidmatan.

Namun, cadangan menggajikan pesara tentera sebagai pengawal keselamatan bukanlah kali pertama dilontarkan oleh kerajaan dan berkemungkinan juga bukan yang terakhir dicadangkan.Isu utama yang kompleks adalah sejauh mana pihak industri kawalan keselamatan bersedia menawarkan pekerjaan kepada pesara tentera dengan gaji yang berpatutan kerana kebanyakan syarikat perkhidmatan kawalan keselamatan menawarkan gaji permulaan sebanyak RM1,100.

Pengalaman

Sudah semestinya angka itu tidak setimpal dengan pengalaman dan kualiti perkhidmatan yang hendak diberikan oleh pesara tentera.

Nilai kerja itu juga belum mengambil kira kecekapan mereka, contohnya, yang berkhidmat dalam pasukan elit seperti Gerup Gerak Khas, Pasukan Khas Laut, Pasukan Khas Udara atau bekas anggota infantri yang terlatih.

Kebiasaannya, seorang pengawal dikehendaki bertugas lapan jam sehari selama 26 hari dalam sebulan. Mereka juga disuruh bekerja lebih masa selama empat jam setiap hari, bermakna tempoh bekerja adalah selama 12 jam secara berterusan.

Kebanyakan syarikat perkhidmatan kawalan keselamatan pula mengkehendakkan pengawal keselamatan bekerja termasuk pada hari rehat dan hari cuti, manakala imbuhan yang diberi tidak setimpal.

Akibatnya, banyak syarikat perkhidmatan kawalan keselamatan sukar mencari pekerja sehingga melonggarkan prosedur pengambilan. Disebabkan itu, ramai pengawal keselamatan tidak berani untuk membanteras jenayah yang sedang berlaku kerana mereka tidak tahu apa yang perlu dilakukan.

Sebaliknya, pesara tentera yang berkemahiran dan terlatih seperti anggota komando pasti tahu apa tindakan serta respons, misalnya jika ditugaskan sebagai pengawal keselamatan mengiringi ahli perniagaan yang membawa barang-barang berharga.

Penjenayah yang hendak berhadapan dengan pengawal keselamatan bekas tentera terlatih pula pasti akan berfikir dua kali, selain gusar dengan tentangan yang bakal diterima, lantas dapat mengurangkan risiko jenayah.

Sekiranya khidmat pesara tentera sangat-sangat diperlukan dalam industri berkenaan, maka kedua-dua kementerian yang berbincang perlulah mengemukakan bentuk tugas, skim kerja dan paling penting, kadar gaji hendaklah setimpal dengan kemahiran serta khidmat yang diberikan.

* Zaki Salleh merupakan penganalisis pertahanan dan telah menulis dalam bidang ini sejak 20 tahun lalu


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!